Berita

Kuala Lumpur catat mata 7.1 dalam MHI

SULAIMAN (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada peserta Program SDG & Heritage Hunt yang berlangsung pada Khamis lalu.
- Diterbit 25 November 2022 3:54 AM MYT

“DBKL telah menetapkan fokus ini selari dengan visi Kuala Lumpur sebagai City for All, dan ia memastikan segala perancangan kita tidak meninggalkan sesiapa pun dalam mewujudkan bandar raya yang mampan dan berdaya tahan sekali gus menjadikannya sebagai sebuah bandar raya gembira atau A Happy City,” menurut Pengarah Eksekutif Perancangan DBKL, Datuk TPr Sulaiman Mohamed ketika berucap semasa Majlis Perasmian Pembukaan Program SDG & Heritage Hunt Khamis lalu.

Indeks Kebahagiaan Malaysia (MHI) dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan (DOSM) menunjukkan bandar raya Kuala Lumpur berada di tempat ketiga dengan mencatatkan mata 7.1 dalam MHI.

Kuala Lumpur mempunyai pendapatan median bulanan tertinggi sebanyak RM10,549 dengan perbelanjaan kira-kira RM5,692 sebulan. Ini diterjemahkan kepada peratusan 54 peratus, salah satu yang terendah selepas Labuan dan Sabah.

Sebagai wilayah pusat bagi kebanyakan pekerjaan, terutamanya dalam kewangan, perbankan dan sektor perkhidmatan, mereka yang bekerja di sini mempunyai alasan yang kukuh untuk gembira dengan pendapatan mereka.

Jelas Sulaiman, bagi merealisasikan aspirasi ini, DBKL telah mengorak langkah untuk menjalin kerjasama dengan Urbanice Malaysia.

“Syukur alhamdulillah, hasil kerjasama bersama Urbanice telah menyaksikan penubuhan sebuah Pusat SDG Kuala Lumpur, iaitu sebuah pusat interaktif yang menghimpunkan kesemua inisiatif yang menyumbang kepada pelaksanaan 17 SDG yang telah dirasmikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan pada 28 September 2021 yang lalu,” katanya.

PROGRAM SDG & Heritage Run ini menerima lebih 80 penyertaan termasuk dari luar negara.

Sulaiman berkata sejak Pusat SDG ini dirasmikan, ia telah menerima kunjungan atau lawatan dari pelbagai pihak termasuklah Pengarah Eksekutif UN-Habitat, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif.

“Selain itu, pusat ini juga turut menerima lawatan dari delegasi European Union, lawatan dari Setiausaha Agung United Cities and Local Governments Asia-Pasific (UCLG ASPAC) serta lawatan-lawatan dari pelbagai agensi dan komuniti dalam negara termasuklah dari PBT-PBT dan persatuan-persatuan,” ujarnya.

Tambahnya, penubuhan pusat SDG ini akan membuka ruang untuk pelbagai lapisan warga kota Kuala Lumpur menambah ilmu pengetahuan serta menjalankan penyelidikan berkenaan SDG dengan lebih meluas.

Beliau berkata melalui program-program yang selari dengan SDG dilaksanakan, sudah pasti akan membantu bandar raya Kuala Lumpur untuk terus unggul dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan dan meletakkan Kuala Lumpur di pentas dunia.

“Saya yakin dengan kesungguhan dan komitmen kita untuk mencapai matlamat-matlamat SDGs ini, Kuala Lumpur akan berjaya mencapai Agenda Mampan 2030 dan menjadi sebuah bandar raya yang mampan, berdaya tahan, selamat dan inklusif untuk semua,” katanya.

Terdahulu, SDG Centre Kuala Lumpur dan Junior Chamber International (JCI) Malaysia telah menganjurkan Program SDG & Heritage Hunt untuk memberi pendedahan kepada peserta berkenaan sejarah Kuala Lumpur dan usaha-usaha DBKL di dalam merakyatkan SDG.

Program yang diadakan ini bersempena penganjuran JCIM Academy 2022 melibatkan penyertaan kira-kira 80 orang peserta dalam dan luar negara seperti dari Vietnam, Bangkok, Filipina dan Cambodia. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas