Artikel

Usah prejudis khidmat klinik kerajaan

PROSES menuggu di klinik kerajaan lebih pantas dan lancar. PROSES menuggu di klinik kerajaan lebih pantas dan lancar.
- Diterbit 18 Oktober 2020 2:10 AM MYT

Ramai berandaian apabila mendapatkan rawatan perubatan di hospital atau klinik kerajaan akan mengambil masa lama kerana terlalu ramai pesakit yang bertumpu ke tempat tersebut.

Memang diakui klinik atau hospital kerajaan menjadi tumpuan kerana kos rawatan yang murah.

Bayaran dikenakan biasanya hanya RM1 bagi rawatan di klinik atau hospital dan RM5 bagi rawatan pakar. Bagi warga emas, tiada bayaran dikenakan.

Jelas bayaran di klinik kerajaan jauh murah berbanding klinik swasta. Ini juga antara sebab klinik dan hospital kerajaan menjadi tumpuan ramai, terutama golongan berpendapatan rendah.

Namun bagi Adi, untuk mengandaikan khidmat di klinik kerajaan lambat kerana ramainya pesakit bertumpu adalah tidak tepat.

Mungkin suatu ketika dahulu benar terlalu ramai pesakit menyebabkan masa untuk bertemu doktor agak lama. Lagi ramai pesakit, lagi panjang masa diambil.

Namun bagi mereka yang hanya membuat andaian dan tidak pernah pun mendapatkan rawatan di hospital atau klinik kerajaan, mereka harus menyedari bahawa keadaan sudah banyak berubah sekarang.

Sebagai contoh, Adi ingin berkongsi mengenai Klinik Kesihatan Kuala Lumpur (KKKL) yang terletak di Titiwangsa, Kuala Lumpur, bersebelahan Taman Tasik Titiwangsa. Kebetulan Adi sendiri sering mendapatkan rawatan di klinik ini.

Klinik yang memulakan operasi pada April 2017 ini menggantikan Bahagian Pesakit Luar, Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Ia terletak di bawah kendalian Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Dengan pembukaan klinik ini, Bahagian Pesakit Luar di HKL dimansuhkan. Pesakit luar yang biasaya mendapatkan rawatan di HKL perlu mendapatkan rawatan di sini, kecuali bagi kes-kes kecemasan yang masih dirujuk ke HKL.

“Oleh itu Adi ingin berkongsi dengan orang ramai yang belum pernah datang ke klinik kerajaan dan KKKL khususnya, usah membuat andaian bahawa proses mendapatkan rawatan selalu lambat.

Berbanding dengan klinik kesihatan yang lain di Kuala Lumpur, KKKL adalah lebih besar dan khidmatnya lebih meluas.

Ia bukan sahaja menyediakan khidmat pesakit luar tetapi juga khidmat pergigian serta klinik ibu dan anak serta pelbagai khidmat kesihatan lain.

Juga ada kemudahan bagi X-Ray, ujian sample darah dan air kencing , saringan Covid-19, ECG dan farmasi.

Oleh itu Adi ingin berkongsi dengan orang ramai yang belum pernah datang ke klinik kerajaan dan KKKL khususnya, usah membuat andaian bahawa proses mendapatkan rawatan selalu lambat.

Berdasarkan pengalaman Adi, khidmat KKKL memang baik dan efisen. Sekalipun ramai pesakit, masa menunggu tidak terlalu lama.

Jika anda pergi ke klinik swasta pun pesakit kena menunggu juga. Kadang kala proses menunggu juga lama.

Namun di KKKL semua berjalan pantas dan lancar. Ini kerana terdapat puluhan doktor bertugas di sini.

Setiap orang akan segera dipanggil bertemu doktor setelah selesai pendaftaran dan saringan.

Proses pendaftaran juga sangat sistematik dan semuanya melalui komputer. Selepas pendaftaran, jika perlu, akan disaring tekanan darah (BP) dan gula.

Seterusnya berjumpa doktor dan kemudian mengambil ubat di farmasi.

Daripada pendaftaran, arahan ke tempat saringan, berjumpa doktor dan ke farmasi semuanya dilakukan melalui komputer. Petugas kaunter akan memberi nombor giliran.

Selepas itu anda hanya perlu menunggu nombor anda dipanggil melalui skrin monitor yang disediakan, sama ada untuk menjalani saringan atau berjumpa doktor.

Setelah berjumpa doktor, dia akan mencatat ubat yang diperlukan ke dalam komputer dan menyalurkan terus ke farmasi.

Tiada tulisan pada kertas. Anda cuma pergi ke farmasi mengambil nombor dan menunggu ubat. Mudah sekali.

Kerana ramai doktor dan proses mendapatkan rawatan dari pendaftaran hingga mengambil ubat semua melalui komputer, maka proses rawatan keseluruhannya memang cepat.

Adi menjelaskan ini semua kerana ingin membetulkan tanggapan salah bahawa rawatan di klinik kerajaan tidak sebaik seperti rawatan di klinik swasta. Malah bagi Adi ia memang cepat dan murah.

Cuma ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini urusan rawatan perlu dibuat melalui temu janji secara online.

Ini bertujuan memastikan kelancaran proses rawatan dan tidak terlalu ramai datang ke klinik pada satu-satu masa.

Ia juga bertujuan memberi keselesaan kepada pesakit kerana dengan pelaksanaan penjarakan fizikal, jumlah kerusi menunggu juga dihadkan. Yang pasti perkhidmatan tetap lancar.

Adi percaya masih ramai yang beranggapan ubat yang diberi oleh klinik kerajaan tidak sebaik seperti yang diberi oleh klinik swasta. Anggapan ini tidak benar. Ubat yang diberi klinik kerajaan tetap bermutu tinggi.

Lihat sahaja perbezaan sekarang. Dahulu mungkin ubat diberi dengan mengambilnya daripada bekas besar dan memasukkannya ke dalam sampul kecil. Sekarang ubat terbungkus dalam kotak asal dari kilang.

Mengenai rawatan pergigian di KKKL, belasan doktor gigi sedia untuk memberi perkhidmatan. Pelbagai jenis rawatan disediakan seperti mencabut gigi, menampal, scaling, membuat gigi palsu dan sebagainya. Namun dalam tempoh PKPP ini jenis rawatan yang diberi adalah terhad.

Khidmat rawatan ibu mengandung dan anak pula menyediakan khidmat nasihat kepada ibu mengandung dan rawatan susulan selepas kelahiran bayi untuk ibu dan anak.

Justeru Adi mengesyorkan kepada mereka yang masih mempunyai anggapan klinik kerajaan sesak dan perkhidmatan lambat, jangan prejudis. Datang dan alami sendiri, khususnya di KKKL.

Klinik ini terbukti memberi perkhidmatan terpuji. Anda pasti akan dapat merasai kehebatan dan kemesraan perkhidmatan yang disediakan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas