Agama

Isteri Bengang, Suami Suka Tonton Filem Seks

|
- Diterbit 25 Oktober 2020 11:06 PM MYT

SEMENJAK negara dilanda pandemik COVID-19 dan ramai yang kehilangan pekerjaan, tidak dinafikan kes masalah rumah tangga meningkat.

Bermacam-macam kes yang dilaporkan dalam media arus perdana mahu pun di media sosial. Ada juga masalah yang kita tidak terfikir pun. 

Antaranya apabila gelagat suami yang banyak masa di rumah akibat kehilangan pekerjaan yang suka menonton video lucah.

Ini pernah diluahkan oleh seorang isteri yang sudah buntu memikirkan bagaiamana mahu menasihatkan suaminya yang gemar menonton video sebegitu.

Menjawab persoalan tersebut, pendakwah bebas Datuk Dr. Mashitah  melalui buku kompilasi soal jawab Fitrah Wanita, ada jawapan buat isteri yang buntu dengan tabiat suaminya.

“Melihat filem seks atau lucah, hukumnya berdosa, sama ada  suami orang atau bujang, sesiapa sahaja secara bersama atau bersendirian.

“Ini kerana perbuatan ini bukan sahaja amat membuang Masa, bahkan boleh merangsang nafsu syahwat kerana melihat aksi-aksi tersebut.

“Walaupun seseorang itu solat, ia bukan jaminan tidak melakukan perbuatan terkutuk yang lain apatah lagi jika solatnya tidak sempurna.

“Ada hadis menyebut, ‘barang siapa yang solatnya tidak mencegah daripada perbuatan terkutuk, maka dia akan menjadi lebih jauh daripada Tuhannya’.

“Perbuatan puan menasihati suami akan mendapat pahala besar di samping jangan lupa berdoa untuknya. 

“Bagaimanapun, bukan senang hendak mengubah orang lain, melainkan jika dia sendiri yang mahu berubah.

“Sebagai pasangan, kita dituntut saling mengingati tetapi jika pihak suami sendiri tidak mahu berubah, dia akan menanggung akibatnya,” tulisnya.

Sebagai suami isteri haruslah berbincang sebaik-baiknya untuk kebaikan rumah tangga. Tegur itu tidak salah, tetapi ada caranya. Tepuk dada, tanya iman ya! – WILAYAHKU

Foto: instagram @queenofcrepesville

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas