Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Artikel

Dr Zaliha dan pilihan raya kerajaan tempatan

ZALIHA (kanan) selepas Majlis Sambutan Selamat Datang dan Sesi Taklimat DBKL di Menara DBKL baru-baru ini.
- Diterbit 29 Disember 2023 11:10 AM MYT

Oleh ZULKIFLI SULONG

SELEPAS berehat selama setahun, kini Kementerian Wilayah Persekutuan wujud kembali. Kementerian ini mendapat menteri yang baharu iaitu Dr Zaliha Mustafa, bekas Menteri Kesihatan.

Sebagai menteri di kementerian yang diwujudkan semula, cabaran dan tanggungjawab yang dihadapi oleh Dr Zaliha yang akan memasuki era umur 60-an tahun depan ini amat besar.

Beliau perlu membuktikan bahawa memang wajar kementerian ini diwujudkan semula selepas direhatkan sebaik sahaja Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 (PMX) tahun lalu.

Dr Zaliha perlu buktikan bahawa kementerian ini diwujudkan semula bukan untuk menjaga air muka beliau selepas tidak lagi terpilih sebagai Menteri Kesihatan. Beliau kena buktikan bahawa kementerian ini sememangnya diperlukan demi menjaga kepentingan penduduk di Kuala Lumpur, Putrajaya dan juga Labuan.

Sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha umpama menteri besar untuk ketiga-tiga wilayah tersebut. Di bawahnya ada tiga badan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang utama iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Perbadanan Labuan (PL). Setiap satunya ada ketua dan lembaga masing-masing yang perlu ditadbir oleh Dr Zaliha.

Sebagai menteri besar, Dr Zaliha perlu mempastikan ketiga-tiga PBT ini berjalan dengan baik dan memenuhi kehendak penduduk di ketiga-tiga kawasan ini.

Yang lebih utama pula, Dr Zaliha bukan menteri besar di negeri-negari kecil yang terkebelakang dari segi pembangunannya tetapi ibu negara (Kuala Lumpur) dan pusat pentadbiran (Putrajaya) kepada negara ini.

Baik pentadbiran beliau, maka baiklah imej pentadbiran negara ini di mata dunia dan rakyat Malaysia.

Sebaik sahaja memasuki pejabat di Menara Seri Wilayah di Putrajaya, Dr Zaliha dihadapkan dengan isu pilihan raya kerajaan tempatan. Sememangnya isu ini panas kerana rakyat negara ini mempunyai pandangan berbeza mengenainya.

Pandangan berbeza ini pula banyak diwarnai oleh isu perkauman di mana orang Melayu melihat pilihan raya kerajaan tempatan bermakna Cina akan menguasainya kerana kebanyakan bandar-bandar yang mendominasi kerajaan tempatan dihuni oleh kaum Cina.

Apabila ini berlaku, aspek positif dari pilihan raya kerajaan tempatan ini tenggelam dengan sendirinya. Lalu dimainkanlah isu bahawa Cina mahukan pilihan raya kerajaan tempatan manakala Melayu pula menolaknya.

Isu pilihan raya kerajaan tempatan sudah lama dibincangkan. Pihak masyarakat sivil mahukannya bukan kerana isu kaum tetapi kecekapan perkhidmatan untuk rakyat akan meningkat dengan adanya pilihan raya kerajaan tempatan.

Ini kerana, isu penduduk di bandar tidak lari daripada isu jalan berlubang, longkang tersumbat, perumahan yang tidak mencukupi, lif rosak dan seumpamanya. Jika ahli majlis kerajaan tempatan menjalankan tugas mereka dengan baik menguruskan isu-isu ini, penduduk yang akan mendapat manfaatnya.

Jadi, jika penduduk berkuasa memilih, mereka akan memilih ahli majlis yang terbaik untuk kepentingan mereka. Ia hanya akan berlaku jika pilihan raya kerajaan tempatan diadakan.

Ia jauh berbeza dengan isu dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di seluruh negara. Adun-Adun lebih berdepan dengan isu sakit, perkahwinan dan mati (SPM). Jika mana-mana ADUN berjaya­ melayani tiga isu ini, mereka akan mudah untuk menang dalam pilihan raya berikutnya.

Apabila ia mahu dilaksanakan, Dr Zaliha dan Kerajaan Perpaduan perlu menyeimbangkan isu perkauman ini dengan memberikan formula yang boleh menyelesaikan isu kaum ini.

Apabila isu pilihan raya kerajaan tempatan dibangkitkan media, Dr Zaliha nampaknya mengambil sikap untuk menepisnya dahulu dengan berkata, beliau akan berbincang dengan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang mana menterinya adalah Nga Kor Ming.

Dr Zaliha berkata beliau mengambil maklum cadangan berkenaan dan tidak menolak mengenai kepentingannya sepertimana dikemukakan oleh sesetengah pihak, namun perkara itu perlu diperhalusi secara mendalam.

“Bagaimanapun kalau kita tengok sebenarnya ia (PBT) di bawah (­bidang kuasa) KPKT dan saya tidak menolak akan kepentingannya, jadi apa pun nanti saya juga akan berbincang dengan Menteri KPKT (Nga Kor Ming) untuk memastikan bagaimana perkara ini dapat dilihat dan ditinjau lebih teliti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Sambutan Selamat Datang dan Sesi Taklimat DBKL di Menara DBKL.

Media sebelum ini, melaporkan Pengerusi DAP Kuala Lumpur Tan Kok Wai menggesa kerajaan memulakan pilihan raya PBT di ibu negara terlebih dahulu bagi menyemarakkan demokrasi di Wilayah Persekutuan.

Sebelum ini, ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah negara, isu ini juga turut menjadi isu yang dibincangkan. Ketika itu, Menteri KPKT, Zuraida Kamarudin memaklumkan pihaknya akan membuat kajian mengenainya.

Sehinggalah kerajaan PH jatuh selepas 22 bulan, kajian itu tidak pernah diumumkan hasilnya kerana saya yakin Zuraida sedar betapa sensitifnya isu ini.

Dr Zaliha perlu disokong oleh media yang kuat untuk mempastikan kejayaan yang beliau buat diketahui oleh rakyat. Atas dasar itulah media ini diwujudkan dahulu. Apabila penduduk Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan mendapat maklumat yang betul, maklumat yang betul jugalah yang akan sampai ke kampung-kampung apabila mereka pulang.

Suara atau pandangan penduduk bandar sentiasa menjadi pandangan yang dianggap benar dan betul bagi orang kampung. Maka jika Dr Zaliha berjaya menguasai pemikiran penduduk bandar (opinion leader), beliau akan berjaya juga di mata rakyat di Sekijang, kawasan yang beliau wakili sekarang. Selamat bertugas untuk Dr Zaliha Mustafa.

Penulis adalah bekas Setiausaha Akhbar untuk Menteri Wilayah Persekutuan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas