Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

Pemaju projek pembangunan di Labuan perlu patuhi spesifikasi – Dr Zaliha

- Diterbit 25 Mei 2024 11:17 PM MYT

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa hari ini mengingatkan kepada pemaju supaya memenuhi semua spesifikasi yang ditetapkan pihak berkuasa mengenai dua projek pembangunan di Labuan.

Ini termasuk memastikan penyerahan dapat dilaksanakan mengikut tarikh yang ditentukan.

Pada masa sama, beliau turut mengarahkan Perbadanan Labuan (PL) untuk meneliti dasar dan syarat kelayakan bersama-sama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memastikan projek ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh
penduduk.

“Dua projek pembangunan itu adalah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Arang dan Sekolah Menengah Agama Labuan Sungai Bedaun.

“Untuk PPR Batu Arang, ia mempunyai 500 unit rumah kediaman dengan dua blok bakal menempatkan warga Labuan yang layak serta dilengkapi dengan kemudahan tadika, dewan orang ramai, surau dan taman permainan.

Projek ini dijangka boleh didiami penduduk sebelum akhir tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Untuk Sekolah Menengah Agama Labuan Sungai Bedaun pula, Dr Zaliha menegaskan ia merupakan projek kendalian Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang bakal memanfaatkan 600 orang pelajar khususnya anak-anak asnaf.

“Ini turut dapat juga menampung pelajar-pelajar aliran agama yang berminat dari Sabah dan Sarawak.

“Sekolah yang dilengkapi dengan asrama pelajar lelaki dan perempuan serta kuarters
guru juga kemudahan kantin, dewan makan dan keperluan sukan ini dijangka siap
dan boleh beroperasi selewat-lewatnya 2027,” katanya. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas