Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

PBAKL 2024 terima sambutan luar biasa

- Diterbit 25 Mei 2024 7:16 AM MYT

HARI pertama penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL)  berlangsung meriah dengan kehadiran pengunjung dari dalam dan luar negara terutama dalam kalangan generasi muda.

Pengerusi Pengelola PBAKL, Mohd Khair Ngadiron menyifatkan sambutan pada hari ini adalah luar biasa.

“Kehadiran pengunjung berlipat kali ganda tambahan pula ada sebahagian sekolah di beberapa negeri sudah bercuti.

“Saya difahamkan, hari ini banyak rombongan sekolah-sekolah di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor di mana pihak guru mengambil kesempatan membawa pelajar-pelajar berkunjung ke pesta buku.

“Tinjauan rambang saya ketika bercakap dengan para penerbit buku, saya tanya bagaimana progres jualan hari ini, mereka kebanyakannya tersenyum lebar sebab dapat hasil yang luar biasa. 

“Jadi saya fikir, ini adalah petanda yang baik untuk industri buku dan kita berada di landasan yang betul,” ujarnya.

Beliau berkata, situasi itu tidak hanya disebabkan oleh kekuatan promosi daripada pihak penganjur mahupun media tempatan malah ia juga adalah sebahagian daripada usaha para penerbit dan penulis.

“Kerjasama dengan Wilayahku sebagai rakan media strategik sangat membantu selain kami menghantar surat ke semua sekolah dan giat mempromosikan pesta ini.

“Namun, apa yang lebih penting adalah saya melihat ramai pempamer yang menggunakan media sosial mereka sebagai platform untuk menarik pengunjung. 

“Majoritinya dalam kalangan anak muda, jadi tidak hairanlah mereka sememangnya sangat aktif dalam penggunaan dan selok-belok media sosial seperti Facebook, Instagram dan sebagainya. Jadi, hasilnya adalah pada hari ini,” ujarnya.

Melihat kepada situasi itu, Mohd Khair percaya anggaran sasaran kehadiran pengunjung iaitu 1.5 juta boleh dicapai jika pesta buku ini mendapat sambutan berterusan. 

Terdahulu, PBAKL 2024 merupakan pesta buku terbesar di Malaysia dan acara tahunan yang sudah memasuki edisi ke-41. 

PBAKL ini tidak hanya menawarkan pelbagai genre buku di bawah satu bumbung malah ia turut membawa pelbagai kejutan dan aktiviti menarik bermula 24 Mei hingga 2 Jun bertempat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) mulai pukul 10 pagi hingga 10 malam.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas