Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

DBKL keluar 10 notis kompaun kepada kontraktor

- Diterbit 25 Mei 2024 7:18 PM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan 10 notis kompaun kepada kontraktor atas pelbagai kesalahan dalam satu operasi Tindakan Khas Kerja Korekan Jalan Awam Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) Siri 6 Tahun 2024.

Operasi yang bermula pukul 10.00 malam semalam dan berakhir pada pukul 3.00 pagi tadi melibatkan Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Kejuruteraan Awam dan Saliran, Jabatan Perancangan Infrastruktur, Jabatan Pengangkutan Bandar dan Jabatan Integriti di sekitar Jalan Ampang, Jalan Tun Razak, Jalan Sentul, Jalan Sentul Pasar, Jalan Tumbuhan, Jalan Ayer Panas dan Jalan Loke Yew.

DBKL berkata, menerusi pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan tindakan penguatkuasaan ke atas mana-mana individu atau kontraktor yang melanggar garis panduan bagi menjalankan apa-apa aktiviti.

Menurutnya, antara kesalahan melibatkan kerja-kerja korekan jalan, penggantian paip, saluran longkang, pemasangan utiliti, penggunaan jentera berat atau angkut bahan, struktur pembinaan, halangan lalu lintas, penutupan jalan dan keselamatan awam termasuk pengguna jalan raya yang lain.

“Dalam operasi kali ini, DBKL membuat pemeriksaan di tujuh buah lokasi berasingan sekitar Kuala Lumpur dan telah mengesan empat aktiviti kerja korekan jalan telah melanggar SOP yang telah ditetapkan.

“Manakala tiga lagi aktiviti telah mendapat permit kebenaran dan menjalankan kerja-kerja korekan jalan mengikut garis panduan yang ditetapkan pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya lagi, sebanyak 10 notis kompaun dikeluarkan kepada kontraktor di tapak operasi melibatkan pelbagai kesalahan am seperti tiada permit kerja korekan jalan, tiada permit bagi penutupan jalan, gagal menyediakan lampu (blinker) mencukupi di tapak kerja, tiada kawalan lalu lintas (flagman) semasa penutupan jalan, sisa korekkan (air lumpur atau tanah atau batu) disalurkan ke dalam longkang awam dan lori angkut bahan beroperasi tanpa permit laluan.

“Tindakan penguatkuasaan dilakukan menerusi kesalahan dibawah Akta Jalan Parit Dan Bangunan 1974 (lapan notis), Akta Kerajaan Tempatan 1976 (satu notis) dan Undang-Undang Kecil Pengangkutan Bahan (WPKL) 1997 (satu notis).

“Tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari masa ke semasa di 11 parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” tegasnya. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas