Artikel

Unsur Sains Angkasa dalam Novel

|
- Diterbit 19 Disember 2020 3:30 AM MYT

NOVEL adalah cerita dalam bentuk prosa yang berkaitan dengan pengalaman kehidupan. Novel Sains Angkasa merupakan karya yang menggunakan tema yang bersangkutan dengan bidang sains angkasa di persada kesusasteraan.

Pada dasarnya, sains dan sastera merupakan dua cabang ilmu yang dianggap berbeza. Oleh itu, ada yang beranggapan bahawa novel berunsur sains merupakan cerita yang kurang matang dan membawa pembaca ke alam khayalan.

Cerita berunsur sains mempunyai fungsi sebagai medium pengajaran bagi menjana pemikiran kreatif kanak-kanak selain pembentukan moral yang baik.

Karya sastera berunsur sains penting dalam mendidik dan membangunkan modal insan yang berpengetahuan tinggi dengan menyediakan bahan bacaan kreatif yang merentas pelbagai bidang, khususnya dalam bidang sains dan teknologi.

Novel-novel fiksyen sains ini mempunyai plot yang mudah, tertumpu pada adegan aksi dan menjurus kepada gabungan antara elemen fantasi dengan realiti.

Kaedah naratif menggunakan sudut pandangan orang ketiga mampu mengembangkan cerita dari sudut pandangan pelbagai watak dan menjadikan cerita lebih menarik.

Terdapat unsur suspens, konflik serta dramatik yang dibina daripada peringkat eksposisi sehingga kepada peleraian. Penceritaan dalam novel juga disampaikan melalui susunan dan bahasa yang menarik, menjadikannya mudah untuk diikuti dan dihargai pembaca.

Novel bercorak fiksyen sains ini sesuai sebagai dijadikan bahan bacaan untuk meningkatkan minat pelajar terhadap bidang sains, khususnya dalam era dunia tanpa sempadan ini.

Novel-novel berunsur sains angkasa kategori remaja dan kanakkanak terbitan  DBP ini boleh didapati melalui portal dbpniaga.my.

AURORA MORGANA
(Rosli Mohamad Ali, 2020)

Aurora Morgana ialah lapisan halo berwarna merah yang mengelilingi bumi, pada ketika bumi tidak lagi boleh didiami. Lapisan atmosferanya panas, sepanas Musytari, suhu permukaannya pula sepanas Utarid.

Cerita fiksyen sains Aurora Morgana ini mengisahkan Ir. Danial, jurutera yang bertugas dengan Kor Kejuruteraan Komunikasi dihantar ke Stesen Angkasa Lepas (SAL) Suvarnabumi. Ir. Danial dihantar dari Dunia Keempat bagi membantu mengesan semula bumi yang mati dan musnah akibat letupan nuklear. Ir. Danial juga mempunyai misi peribadi, iaitu mengesan kapal KMBarzakh yang menempatkan mayat penghuni bumi yang mati dalam peperangan dan perjalanan ke Stesen Angkasa Lepas Suvarnabumi. lr. Danial berazam untuk mengebumikan mayat ibu dan bapanya di bumi. Walau bagaimanapun, Ir. Danial menghadapi
masalah dengan Komander Herman, pemerintah Stesen Angkasa Lepas (SAL) Suvarnabumi yang kecewa dan menyalahkan Tuhan atas kematian anaknya.

Komander Herman yang sentiasa bertindak atas kepentingan peribadi telah membuat perjanjian yang tidak sepatutnya dengan Aurora Morgana. Perjanjian untuk membawa seberapa ramai manusia kepada Aurora Morgana untuk dijadikan korban.

Penulis bijak memainkan peranan Ir. Danial dalam merungkai setiap misteri dan masalah yang berlaku di stesen tersebut. Penulis turut menggabungkan dan menerapkan elemen ketuhanan dalam fakta sains yang dipaparkan.

LEPIDOPTERA EUROPA
(Rosli Mohamad Ali, 2019)

Lepidoptera Europa mengisahkan Faiz yang tinggal di Bulan Europa, salah sebuah bulan di Planet Musytari kerana mengikut ayahnya bekerja di situ. Ayah Faiz sanggup meninggalkan adik dan ibu Faiz di bumi. Ibunya menderita sakit kanser dan adiknya terpaksa menjaga ibunya.

Pada mulanya, Faiz berasa begitu bosan kerana terpaksa menjalani rutin harian yang sama setiap hari. Namun, segala-galanya berubah dengan kemunculan bebola cahaya berwarna biru. Dia dan rakanrakannya mengambil keputusan untuk menyiasat kemunculan bebola cahaya berwarna biru yang mencari batu meteor milik Faiz.

Mereka cuba menyelesaikan misteri tersebut dan berjaya menemui pemilik cahaya biru itu, iaitu makhluk yang tinggal di Europa.

Batu meteor yang dicari oleh makhluk yang mereka namakan rerama ais kerana ia terbang di dalam air itu dikesan mampu mengubati pelbagai jenis penyakit dan sangat diperlukan oleh mereka.

Semasa mengejar rerama ais di laut dalam, kapal yang dinaiki Faiz rosak dan Faiz telah lemas. Semasa operasi menyelamat, para saintis yang menemui Faiz terkejut kerana Faiz sebenarnya terselamat.

Para saintis tersebut menimbulkan persoalan tentang keajaiban peristiwa yang menimpa Faiz.

Secara implisit, penulis mendidik remaja agar tidak mensia-siakan peluang yang mereka peroleh melalui kisah yang digarap dalam novel ini.

Sifat ingin tahu yang ada dalam diri setiap remaja sebenarnya amat baik jika dimanipulasi ke arah yang positif.

Penulis juga mengetengahkan isu pentingnya memelihara dan memulihara alam sekitar dengan sebaiknya bagi mengelakkan kepupusan yang akan merugikan generasi akan datang.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas