Artikel

Memperkasa hak asasi manusia di Malaysia

- Diterbit 19 Disember 2020 6:00 AM MYT

“Pengiktirafan hak yang menjadi dasar kepada setiap manusia sangat penting untuk menyingkirkan diskriminasi dan keampuhan tunjang asasi kepada kejayaan individual, masyarakat dan negara keseluruhannya.

TANGGAL 10 Disember merupakan hari hak asasi manusia sedunia yang mengangkat tema “Recover Better-Stand Up for Human Rights” pada tahun 2020.

Hari hak asasi manusia telah dirangka oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Paris pada 72 tahun yang lalu yang berlatar belakang kan undang-undang dan kepelbagaian corak budaya dan bangsa yang berdasarkan universal untuk seluruh wilayah di dunia untuk mengiktiraf dasar kemanusiaan.

Imbas kembali peristiwa yang membawa kepada pengiktirafan secara rasmi Malaysia terhadap hak asasi manusia apabila Malaysia menjadi salah satu negara yang menjalinkan kerjasama yang bersepadu dalam Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu bagi menjamin hak asasi manusia daripada dasarnya (United Nations Commission for Human Rights-UNCHR) dan selaras dengan penglibatan aktif Malaysia dalam UNCHR, Malaysia juga komited menjadi salah satu negara anggota Asia Tenggara yang menerima agenda 2030 daripada Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu untuk mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) yang mengangkat 17 matlamat yang didasari dengan melindungi hak-hak asasi manusia.

Malaysia komited melalui inisiatif kerajaan untuk memperkasakan hak asasi manusia melalui Rang Undang-undang yang berteraskan Prinsip Paris 1992 dan deklarasi bersama Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang menguatkan lagi usaha kerajaan untuk mencapai kesaksamaan di setiap peringkat lapisan masyarakat dan menangkis sebarang bentuk diskriminasi kaum atau jantina.

Usaha ini dilihat menuntut praktikal yang konsisten untuk mencapai matlamat pembangunan lestari (SDGs).

Sejurus dengan itu, perjuangan Malaysia mengiktiraf hak asasi manusia bermula dengan pertubuhan badan hak asasi kebangsaan yang berteraskan penekanan terhadap setiap komponen hak asasi manusia yang meliputi seluruh aspek pembangunan kemanusiaan dan kerohanian tanpa mengira latar belakang agama dan ras perkauman.

Malaysia menjadi salah satu negara Asia yang mengiktiraf secara rasmi untuk melindungi hak asasi manusia melalui penubuhan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) yang ditubuhkan untuk mendukung dan menguatkan sinergi kerajaan seiring mencapai matlamat pembangunan lestari (SDGs) yang dianggotai oleh ahli SUHAKAM yang dipilih berdasarkan  kepelbagaian kaum, kredibiliti dan kewibawaan individu sebagai satu cerminan keunikan Malaysia yang mengangkat hak individu tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa di rantau Asia Pasifik selain Indonesia, Thailand dan Filipina.

Seperti yang umum ketahui, matlamat pembangunan lestari mempunyai 17 agenda yang meliputi memperjuangkan seluruh dasar hak asasi manusia secara berstruktur untuk mencapai perkembangan individual dan sosial melalui penekanan aspek pertumbuhan secara seimbang dan memperjuangkan hak perlindungan sepenuhnya untuk mendepani arus globalisasi.

Justeru, sambutan Hari Asasi Manusia disambut bukan sekadar satu sambutan peringatan kepada peristiwa Malaysia bersetuju mengiktiraf hak asasi manusia bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Malahan ianya merupakan titik tolak kepada usaha kerajaan dan semua rakyat untuk mengekalkan kebaikan dan keharmonian insani yang sakinah serta menggabungjalinkan elemen kesaksamaan hak asasi manusia yang berbentuk sejagat dan mengakhiri segala bentuk diskriminasi struktural dan rasisme kaum.

Hasilnya, kita dapat menelusuri bahawa tema Hari Hak Asasi Manusia menekankan pengiktirafan hak asasi manusia agar dapat melindungi setiap lapisan masyarakat lebih-lebih lagi negara sedang menghadapi saat genting dengan ujian Pandemik Covid-19 yang bukan sahaja melibatkan ekonomi malahan seluruh rakyat Malaysia.

Kita dapat melihat kepentingan pengiktirafan hak asasi manusia memainkan peranan yang penting untuk mengekalkan kestabilan politik dan perkembangan masyarakat selaras dengan ikrar untuk mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs).

Rentetan senario itu, kerajaan semestinya lebih cakna dan peka terhadap perubahan semasa terutama menghidupkan norma yang baharu selaras dengan menjamin hak kesamarataan dalam membantu golongan yang terkesan akibat Pandemik COVID-19 tanpa batasan agama dan warna kulit.

Seterusnya, pengiktirafan hak yang menjadi dasar kepada setiap manusia sangat penting untuk menyingkirkan diskriminasi dan keampuhan tunjang asasi kepada kejayaan individual, masyarakat dan negara keseluruhannya.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, elemen emansipasi beragama serta hak kesamarataan merupakan simbiosis antara satu sama lain yang mesti mendapat perlindungan di bawah akta undang-undang Malaysia agar tiada sebarang spekulasi yang boleh mewujudkan jurang kemusnahan perpaduan dan ukhuwah sesama manusia.

Jika di telusuri, hak asasi manusia dapat membina tamadun manusia yang berjaya kerana hak perlindungan di bawah akta undang-undang Malaysia dapat melindungi dan memperkasa wanita terutama daripada di manipulasi dan mendapat peluang yang sama rata terutama menyertai sektor pekerjaan, melindungi wanita daripada gangguan seksual dan keganasan rumahtangga melalui undang-undang domestik serta memberi peluang dalam pentas politik serta peluang ke hadapan untuk menjadi pembuat keputusan.

Inisiatif ini dapat mengukuhkan wasilah kemanusiaan dan melindungi golongan wanita untuk mendominasi dunia kini tanpa meletakkan sebarang jurang dan prejudis kepada golongan wanita.

Tambahan lagi, hak asasi manusia juga meliputi mendapatkan asas kehidupan yang lain seperti bekalan air yang bersih, makanan yang mencukupi dan berkhasiat untuk menjana pemikiran yang kompetensi, kebebasan bersuara dan mendapatkan pendidikan yang sempurna melalui kemudahan prasarana yang lengkap untuk memudahkan proses menyampaikan dan menimba ilmu.

Hal ini kerana, hak mendapat pendidikan yang sempurna dapat menangkis isu kekurangan kemahiran matematik, literasi dan buta huruf sejurus dapat membasmi kemiskinan dan mewujudkan masyarakat yang berilmu tinggi.

Jelasnya di sini, penekanan dan perjuangan terhadap hak asasi manusia dapat membantu negara mencapai banyak matlamat pembangunan lestari melalui pendidikan yang sempurna serta menjadi tunjang dan dasar perdana kepada kehidupan yang saksama dan memudahkan proses reformasi individual ke arah anjakan paradigma.

Realitinya, pengiktirafan hak asasi manusia merupakan asas kayu ukur kepada perjuangan menjayakan matlamat pembangunan lestari secara keseluruhannya. – NUR SYURASHELA RAMLI

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas