Artikel

‘Bakul makanan’ bantu rakyat

SERAMAI 32,000 isi rumah di Wilayah Persekutuan terima ‘bakul makanan’. 32,000 isi rumah di Wilayah Persekutuan terima ‘bakul makanan’.
- Diterbit 13 Disember 2020 6:00 AM MYT

“Adi bangga KWPterusmenerus membantu mereka yang memerlukan, terutama golongan B40 dan miskin bandar selaras dengan Inisiatif Wilayah Cakna.

WARGA Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) yang dikategorikan miskin bandar adalah kelompok yang sangat bertuah kerana sentiasa diberi bantuan melalui pebagai program dan insiatif Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dalam usaha meringankan bebanan hidup mereka.

Terbaharu, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, melancarkan inisiatif MyFood@Wilayah yang akan memberi manfaat kepada 32,000 isi rumah miskin di 67 lokasi projek perumahan rakyat (PPR) dan perumahan awam (PA) di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Adi yakin inisiatif ini melegakan penghuni PPR dan PA terlibat kerana ia menyediakan bantuan bekalan makanan atau ‘bakul makanan’ kepada kelompok sasar, terdiri daripada barang keperluan harian asas bernilai RM50 seunit secara percuma. Sebanyak RM1.6 juta diperuntukkan bagi tujuan ini.

Pengagihan ‘bakul makanan’ ini diberi secara berperingkat. Turut berkerjasama ialah empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) dan Persatuan Penduduk di setiap zon. Pelancaran program dimulakan dengan pengagihan kepada 706 penerima di PPR Kerinchi.

Sudah pasti pemberian ini menggembirakan ketua keluarga, khususnya yang hilang punca pendapatan akibat pandemik Covid-19.

Adi bangga KWP terusmenerus membantu mereka yang memerlukan, terutama golongan B40 dan miskin bandar selaras dengan Inisiatif Wilayah Cakna. Semoga lebih banyak pihak atau agensi tampil membantu usaha murni KWP ini.

PKPB DILONGGAR, SOP JANGAN DIABAI

Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa kawasan masih berkuatkuasa, termasuk di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, satu ‘kejutan’ diumumkan oleh kerajaan apabila pergerakan merentas negeri dan daerah dibenarkan mulai 7 Disember.

Kelonggaran ini diberi meskipun mengikut jadual PKPB yang berakhir pada 6 Disember lalu dilanjutkan sehingga 20 Disember.

Kebenaran merentas daerah dan negeri ini diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada sidang media harian mengenai PKPP/ PKPB pada 5 Disember.

Bagaimana pun kebenaran ini tidak terpakai bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD). Keluar masuk ke kawasan ini tidak dibenarkan.

Mungkin ramai terkejut dengan pengumuman tidak diduga ini kerana sebelum ini kawasan yang tertakluk dengan PKPB tidak dibenarkan merentas daerah dan negeri kecuali dengan kebenaran polis atas sebab-sebab tertentu yang munasabah.

Oleh itu, mereka tidak menduga kebenaran merentas diberi ketika PKPB masih berkuatkuasa untuk tempoh yang panjang, dengan belum ada kepastian sama ada ia akan ditamatkan selepas 20 Disember atau disambung.

Namun begitu Adi percaya ramai yang menyambut baik kelonggaran yang diberi, terutama mereka yang sudah lama merasa jemu ’terkurung’ tidak dapat bergerak keluar daerah dan
negeri.

Misalnya mungkin ramai yang sudah rindu untuk balik ke kampung halaman atau pergi melancong bertukar angin setelah sekian lama hanya menikmati angin dalam kawasan  masing-masing sahaja.

Walaupun kebenaran polis sudah tidak diperlukan untuk merentas daerah dan negeri, prosedur operasi standard (SOP) masih tetap dikuatkuasakan seperti peraturan memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal.

Adi percaya mungkin ada yang tertanya-tanya kenapa berlaku perubahan ini sehingga kelihatannya seperti seolah-olah sudah tidak ada PKPB. Jika begitu kenapa tidak sahaja diisytiharkan PKPB ditamatkan di semua kawasan yang dikenakan, kecuali di kawasan PKPD?

Adi percaya kerajaan, khususnya Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM) yang menasihatkan kerajaan berhubung perkembangan semasa pandemik COVID-19 dan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan, sudah mengkaji dengan teliti sebab dan akibat memberikan kelonggaran ini.

Menurut Ismail Sabri, sidang khas MKN pada 4 Disember mendengar penilaian risiko  daripada KKM bagi pergerakan 14 hari terakhir PKPB. Berasaskan kepada pembentangan dan penilaian inilah perubahan dilakukan.

Kerajaan memahami keresahan rakyat menghadapi situasi sukar ketika ini. Sekalipun dalam kemelut pandemik Covid-19, mahu tidak mahu kehidupan perlu diteruskan sebaik mungkin.

Kerana itu dalam sidang berkenaan, dibentangkan kesan kepada ekonomi negara jika PKPB terus diperketatkan tanpa memberi kelonggaran. Dijangka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan menyusut RM300 juta sehari.

Bayangkan RM300 juta sehari. Ertinya dalam sebulan kerugian akan menjangkau RM9 bilion. Jika kelonggaran tidak diberi sedangkan belum pasti berapa lama tempoh PKPB dikuatkuasakan, pasti jumlah kerugian akan menjadi terlalu banyak.

Sekali gus ini menyebabkan berlaku rantaian akibat yang lebih parah seperti kemerosotan pasaran buruh, penurunan perbelanjaan isi rumah, ketidaktentuan pelaburan, kehilangan kerja dan penutupan perniagaan.

Oleh itu, Adi percaya sebab utama kerajaan melonggarkan peraturan PKPB ialah untuk mengimbangkan kesan kesihatan awam dan kesan ekonomi. Sementara kesihatan rakyat dijaga, kepentingan ekonomi untuk kelangsungan kehidupan tidak boleh diabaikan.

Selama ini pun sejak pandemik COVID-19 menggila, kita telah menyaksikan kesan ekonomi yang meruncing. Banyak sektor perniagaan terjejas pendapatan dan tidak kurang pula yang gulung tikar.

Namun bagi Adi, orang ramai sewajarnya mempunyai kesedaran sendiri untuk menjaga kesihatan diri dan keluarga serta orang sekeliling, bukan sangat kerana sentiasa diawasi oleh
pihak berkuasa.

Yang hendak dijaga ialah diri kita sendiri. Jadi biarlah kesedaran menjaga keselamatan diri itu datang daripada hati sendiri, bukan kerana takut diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

Selama ini pun kita patuh mengamalkan pematuhan SOP yang ditetapkan oleh kerajaan. Jadi Adi rasa tidak ada masalah untuk meneruskan rutin yang menjadi amalan kerana ia dianggap sudah menjadi sebati kepada diri.

Kerajaan telah memberikan kelonggaran, maka hargailah sepenuhnya. Hayati maksud sebenar kelonggaran. Kerajaan bukan sahaja sangat prihatin dengan kesihatan rakyat tetapi amat prihatin dengan ekonomi dan kelangsungan hidup mereka.

Tugas kecil orang ramai dalam meluahkan terima kasih kepada kerajaan ialah mematuhi SOP. Teruskan penjagaan diri ‘kita jaga kita’. Siapakah lagi yang terbaik untuk menjaga diri jika bukan kita sendiri?

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas