Berita

UMSKAL kupas isu perniagaan dalam AIBC2020

GEOFFREY Harvey (empat dari kiri), Alvin (tiga dari kiri), Mohamad Rizal (empat dari kanan) pada sidang akhbar mengenai AIBC2020 di Menara UMSKAL baru-baru ini.
- Diterbit 21 Februari 2020 6:11 AM MYT

LABUAN – Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) akan menganjurkan persidangan dwitahunan, Applied International Business Conference 2020 (AIBC2020) di Hotel Tiara pada Ogos depan.

Pengerusi Jawatankuasa penganjur, Prof. Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal berkata, persidangan dwitahunan pada 15 dan 16 Ogos ini bakal mengupas pelbagai cabaran berkaitan perniagaan, edaran informasi dan pemindahan pengetahuan dalam kalangan pihak berkepentingan.

“AIBC2020 akan menyediakan platform untuk pelbagai kumpulan termasuk ahli akademik, penyelidik, pengamal dan pembuat dasar untuk mewujudkan rangkaian dan pertukaran pandangan serta penemuan penyelidikan mengenai isu-isu perniagaan dan pasaran masa kini,’’ katanya dalam sidang akhbar sempena AIBC2020 yang diadakan di Menara UMSKAL baru-baru ini.

Persidangan ini dianjurkan bersama China Construction Bank (CCB).

Perasmian persidangan itu dijadual disempurnakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darrell Liking. Hadir sama Dekan FKAL, Profesor Madya Dr. Mohamad Rizal Abdul Hamid dan Naib Presiden Kanan CCB Cawangan Labuan, Alvin Han Jiunn Kwang.

AIBC2020 dijangka menerbitkan lebih 100 kertas kerja berkaitan dengan Matlamat Pembangunan Mampan, Teknologi Pendidikan, Ekonomi Digital, Perkongsian Ekonomi, Pelancongan Berkelanjutan, FinTech, Pelaburan Modal Insan, Psikologi dan Pemasaran, Kewangan Hijau, Kemiskinan Moden dan Perhambaan dan Perbankan dan Kewangan Islam.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi sila hubungi talian +6087-598128/087-460486 atau layari laman web https:// submit.confbay.com/conf/ aibc2020.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas