Berita

KLFA dapat pujian FAM

HAMIDIN (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Khalid ketika sesi kunjungan baru-baru ini.
- Diterbit 21 Februari 2020 6:28 AM MYT

CHERAS – Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin mahu kelab bola sepak seluruh negara berfikir dan bekerja secara profesional menuju F:30.

Menurutnya, ia sebahagian daripada objektif utama dalam usaha untuk memastikan ahli gabungan memahami visi dan misi FAM.

“Selain itu, FAM juga berkeinginan agar ahli gabungan melakukan gerak kerja mengikut kemampuan masing-masing kerana pada asasnya ia diwujudkan untuk mempromosi bola sepak di semua peringkat,” ujarnya ketika mengadakan sesi kunjungan hormat delagasi FAM ke atas Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di sini baru-baru ini.

Hamidin berkata, FAM akan sentiasa memberikan khidmat sokongan dan bantuan dari sudut urus tadbir, teknikal serta pembangunan pertandingan kepada ahli gabungannya.

FAM turut menyifatkan KLFA sebagai ahli gabungan yang cemerlang dalam memenuhi syarat-syarat pelesenan kelab mengikut jadual yang ditetapkan.

“KLFA merupakan antara beberapa kelab bola sepak yang menerima lesen pelesenan kelab selama tiga tahun berturut-turut sejak tahun 2018,” katanya.

Kunjungan tersebut disambut Presiden KLFA yang juga merupakan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad. Khalid turut berharap FAM akan membantu KLFA menerusi khidmat nasihat.

“Kami ingin berada pada tahap lebih cemerlang bagi musim ini dan berharap semua berjalan dengan baik sekali gus berjaya mencapai misi untuk naik semula ke Liga Super pada musim depan,” katanya.

Kunjungan tersebut merupakan kunjungan ke-10 FAM ke persatuan dan kelab bola sepak di seluruh negara.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas