Berita

Kembangkan tradisi, budaya etnik

ROZMAN (duduk tengah) menyuapkan indong ajiki (pulut kuning) kepada pemimpin WAKAL pada Program Bahimpon Bapaadian di Kampung Sungai Miri baru-baru ini.
- Diterbit 21 Februari 2020 6:05 AM MYT

LABUAN – Masyarakat diseru agar memberi kan sumbangan kepada persatuan – persatuan kebudayaan yang aktif di pulau ini.

Menurut Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli, sumbangan tersebut bukan sahaja dalam bentuk dana kewangan malah idea atau kemahiran yang boleh membantu pembangunan persatuan.

“Diharap kita ramai-ramai dapat membantu persatuan kebudayaan seperti Persatuan Kadayan Labuan (WAKAL) kerana sumbangan ini akan berkekalan kerana persatuan
ini boleh hidup dari generasi ke generasi sekali gus membantu pembangunan persatuan yang berterusan,”katanya semasa merasmikan Program Bahimpon Bapaadian anjuran WAKAL di Balai Raya Kampung Sungai Miri baru-baru ini.

Katanya lagi, program tersebut mampu mempelbagaikan produk pelancongan berteraskan tradisi dan budaya etnik yang ada di Labuan.

“Kita perlu perbanyakkan produk-produk pelancongan berasaskan kekayaan etnik-etnik agar ia terus berkembang dan tidak akan hilang untuk tatapan generasi baharu serta para pelancong luar,” katanya.

Pada program berkonsepkan padian (saudara) di dalam rumpun etnik Kadayan itu, pelbagai acara diadakan antaranya memancing tradisi jahuan som-som, zumba unggat-unggat, pertandingan mewarna, gerai jualan serta persembahan kebudayaan.

Selain itu, bacaan doa tahlil, doa tolak bala (Covid-19), doa arwah dan doa kesyukuran turut diadakan. Pertandingan Kubamban (busana) etnik Kadayan serta Pertandingan Gubahan Hanjalai Pinglas turut meriahkan acara.

Tetamu turut dihiburkan dengan persembahan bamukun oleh kumpulan Watan Labuan selain bacaan puisi bahasa Kadayan, nyanyian lagu-lagu Kadayan, tarian jipin dan petikan indong gambus Pulau Labuan, Sidi Yusuf.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas