Berita

Umat Islam harus bersatu, elak provokasi demi perpaduan – PM

semalam.|
- Diterbit 1 Julai 2022 7:46 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri menyarankan agar umat Islam bersatu dalam mencapai perpaduan sejagat.

Menurut beliau, antara cabaran yang dihadapi umat Islam adalah perbezaan fahaman, ideologi dan sikap provokasi hanyalah merugikan dan membuatkan umat Islam terpesong dari perpaduan.

“Persidangan ini diadakan ketika umat Islam masih menghadapi pelbagai cabaran, termasuk perbezaan sesama mereka, provokasi segelintir pihak, kebencian terhadap Islam atau pandangan yang memudaratkan Islam.

“Pada hemat saya, jalan penyelesaian perlu dicari dan ini memerlukan komitmen dan kerjasama semua pihak untuk memelihara kesucian agama Islam dan perpaduan negara Islam,” katanya dalam ucapan semasa perasmian Persidangan Ulama Asia Tenggara 2022, semalam.

Turut hadir Setiausaha Agung Liga Dunia Islam Syeikh Dr Muhammad Abdul Karim Al-Issa.

PERDANA Menteri berucap pada Perasmian Persidangan Ulama Asia Tenggara 2022, semalam.

Beliau juga menekankan soal pengukuhan perpaduan dan kesatuan ummah hendaklah berasaskan kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan dakwah dan penyampaian ajaran Islam bertepatan dengan kehendak Islam, bersifat wasatiyah dan memberi rahmat kepada sekalian alam.
“Umat Islam perlu disedarkan bahawa usaha merealisasikan perpaduan ini perlu merentasi tembok pelbagai aliran pemikiran dan ideologi. Tumpuan utama adalah kemaslahatan ummah serta menolak fahaman pelampau dan ekstrem,” ujarnya.

Justeru katanya, semua ulama dan ilmuwan Islam perlu berbincang, bermuafakat, bersatu dan menggembleng pemikiran masing-masing, bagi menghasilkan penyelesaian kepada cabaran dihadapi umat Islam seluruh dunia.

Sementara itu, Syeikh Dr Muhammad berkata, antara kesilapan persepsi ialah generalisasi terhadap kesilapan dan risiko sebahagian daripada mereka yang menganut agama Islam sehingga digeneralisasikan sebagai mewakili agama.

Beliau menegaskan bahawa perhimpunan para ulama Islam pada satu peringkat adalah keperluan mendesak untuk menangani isu-isu besar, dan oleh kerana ulama Asia Tenggara membentuk persatuan penting yang bertumpu pada beberapa isu umum.

Ini adalah tambahan kepada kedekatan geografi antara semua, yang memberi kesan kepada beberapa isu undang-undang, di mana fatwa dan ketetapan undang-undang berbeza mengikut masa, tempat dan keadaan.

PERASMIAN Persidangan Ulama Asia Tenggara 2022, semalam.

Persidangan julung kali diadakan itu menghimpunkan 44 penceramah dari 17 negara, antaranya bertujuan mencari kesedaran dan pendidikan bagi menghadapi ideologi ekstremis dan menggantikan perbezaan antara masyarakat pelbagai latar belakang politik kepada kerjasama dan perpaduan.

 

https://drive.google.com/file/d/1kzgy_8-GnAYu4XpXOTMBnjApSdqIpBUw/view?usp=drivesdk

 

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Hal Ehwal Islam Malaysia dan Liga Muslim Dunia kerana menganjurkan persidangan ini di bawah slogan perpaduan.

“Saya berbangga kerana Malaysia telah dipilih untuk menjadi tuan rumah persidangan ini oleh Liga Dunia Muslim.

“Ia sememangnya satu pengiktirafan terhadap negara kita, dan menonjolkan Islam sebagai agama keharmonian, keselamatan dan kemakmuran dalam masyarakat berbilang kaum dan agama,” tambahnya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas