Berita

Ukraine Malaysia Memeterai Perjanjian Pemindahan Banduan Antarabangsa (ITOP)

Elevated view of Kuala Lumpur skyline.
- Diterbit 12 April 2021 9:56 AM MYT

UKRAINE dan Malaysia pada Isnin memeterai Perjanjian Pemindahan Banduan Antarabangsa (ITOP), negara pertama yang menandatangani perjanjian itu dengan Malaysia.

Malaysia juga negara ASEAN pertama yang akan mempunyai program ITOP dua hala dengan Ukraine, menurut kenyataan Kedutaan Ukraine di Malaysia, di sini, hari ini.

Perjanjian tersebut ditandatangani Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Duta Ukraine ke Malaysia Olexander Nechytaylo di Putrajaya.

“Perjanjian itu melengkapkan pembentukan kerangka undang-undang komprehensif untuk kerjasama yang cekap antara agensi penguatkuasaan undang-undang dan pihak berkuasa perundangan Ukraine dan Malaysia,” kata kenyataan itu.

Pada 2016, kedua-dua negara telah menandatangani dua perjanjian dua hala penting lain dalam bidang perundangan dan jenayah, iaitu: Perjanjian Bantuan Perundangan Bersama dalam Masalah Jenayah, dan Perjanjian Ekstradisi.

Menurut Nechytaylo, “acara hari ini tidak akan dapat dilakukan tanpa dedikasi pasukan rundingan”.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada perwakilan Kementerian Dalam Negeri Malaysia, Jabatan Penjara, Jabatan Peguam Negara dan Wisma Putra (Kementerian Luar Negeri) atas usaha dan komitmen mereka,” katanya dalam majlis tersebut.

Ukraine, satu daripada 66 negara yang mengesahkan Konvensyen 1983 mengenai Pemindahan Orang yang Disabitkan. Sebagai tambahan, Ukraine mempunyai 13 perjanjian antarabangsa dua hala mengenai ITOP dengan negara lain, termasuk China dan Iran. – BERNAMA

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas