Berita

Sarawak sasar kutipan zakat RM95.4 Juta tahun ni

KUCHING, 10 April -- Pemandangan bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak yang dirakam dari udara, hari ini.
- Diterbit 12 April 2021 7:00 AM MYT

TABUNG Baitulmal Sarawak (TBS) menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM95.4 juta bagi tahun ini dengan kira-kira RM90 juta dijangkakan menerusi zakat harta, sementara RM5.4 juta menerusi zakat fitrah.

Pengurus Besar TBS Datuk Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie berkata tahun ini TBS menetapkan kadar zakat fitrah sebanyak RM7 seorang yang boleh dibayar menerusi 790 amil yang telah diamanahkan di masjid dan surau di seluruh Sarawak.

“Zakat fitrah ini boleh juga dibayar melalui platform dalam talian, Baitulmal Kamek di https://pelanggan.tbs.org.my,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata TBS telah menyediakan aplikasi Jejak Asnaf 3.0 bagi memudahkan orang ramai mengenal pasti penerima zakat yang layak daripada kalangan fakir miskin di kawasan mereka dan melaporkannya kepada TBS.

“Melalui aplikasi itu, orang ramai hanya perlu mengambil gambar keluarga fakir miskin yang terlibat serta menjawab beberapa soalan dan seterusnya klik butang hantar. Sebaik sahaja menerima maklumat itu, TBS akan turun padang untuk menyalurkan bantuan kepada keluarga terbabit,” katanya. – BERNAMA

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas