Berita

Ubi Muda Masih Kurang Dari Segi Taktikal

- Diterbit 10 Mac 2021 2:03 AM MYT

SKUAD ‘ubi muda’ diakui masih kekurangan dari segi taktikal serta masih sedikit ‘kekok’ dalam mengendalikan pemain import pasukan lawan.

Ketua jurulatih Skuad Projek FAM-MSN  Yusri Che Lah berkata biarpun mengakui kekurangan anak buahnya itu, namun beliau tetap memuji komitmen dipamerkan setiap pemain.

Malah, beliau berkata skuad bawah 20 tahun itu dilihat semakin berkeyakinan mengawal bola dan ia perkara positif yang berlaku selepas mengharungi dua perlawanan.

“Apa yang dipraktikkan secara taktikal masih banyak kekurangannya, sungguhpun begitu, pemain nampak yakin dengan kawalan bola, dan itu perkara positif yang berlaku.

“Cuma perbezaan kita (dengan pihak lawan) pemain import memainkan peranan, pemain saya yang baru menghadapi dua perlawanan agak sukar untuk mengekang para pemain import Kelantan FC,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Skuad bimbingan Marco Ragini yang dibarisi tiga pemain import dalam kesebelasan utama ‘bermandi peluh’ serta terpaksa bangkit selepas ketinggalan seawal minit keenam menerusi jaringan Azhad Harraz sebelum berjaya menundukkan Skuad Projek FAM-MSN 2-1 di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

“Semua pemain telah beri fokus 100 peratus dan juga bersaing dalam perlawanan yang sukar kerana pasukan ini pertama kali beraksi di Liga Premier dan berdepan Kelantan FC yang semua kenal, satu daripada pasukan yang boleh beri saingan dalam Liga Premier.

“Tahniah buat para pemain. Perjalanan kita masih jauh dan banyak lagi kelemahan yang kita lihat malam ini,” katanya.

Sementara itu, Ragini yang kurang berpuas hati dengan prestasi anak buahnya menyifatkan kemenangan malam tadi sebagai ‘bertuah’ kerana pemain sering melakukan kesilapan berulang dan kurang fokus sama seperti ketika menentang Perak II Sabtu lepas.

Skuad Projek FAM-MSN bakal berdepan Selangor FC II Jumaat ini manakala Kelantan FC akan menentang PDRM FC pada Sabtu. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas