Berita

Kerajaan Arab Saudi terima penambahan Kuota 10000 untuk jemaah haji di Malaysia

- Diterbit 10 Mac 2021 2:11 AM MYT

KERAJAAN Arab Saudi bersetuju memberikan tambahan 10,000 kuota haji untuk jemaah Malaysia.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau mengemukakan permohonan itu ketika menghadap Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan negara itu di Istana Al-Yamamah di sini pada Selasa (Rabu di Malaysia).

“Apabila situasi haji kembali normal selepas pandemik COVID-19, kita akan mendapat kuota haji itu untuk jemaah kita,” katanya kepada media Malaysia pada penghujung lawatan rasmi empat harinya ke negara itu.

Muhyiddin berkata Putera Mahkota memberi jaminan dan jawapan positif terhadap permohonan itu kerana Arab Saudi sentiasa mengalu-alukan jemaah Malaysia yang terkenal dengan tingkah laku yang baik, berdisiplin dan kurang menimbulkan masalah.

Makkah dan Madinah juga masih dalam proses perluasan bagi menampung lebih ramai jemaah pada masa hadapan, kata perdana menteri. – BERNAMA

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas