Berita

Tourism Malaysia fokus produk Labuan dalam pasaran domestik

EDNIE (depan, lima dari kanan) merakamkan gambar kenangan bersama para petugas media di Labuan pada Majlis Ramah Mesra Bersama Media, baru-baru ini.
- Diterbit 21 Januari 2023 5:30 AM MYT

LEMBAGA Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) Sabah akan memfokuskan pelbagai produk pelancongan tempatan di Pulau Bebas Cukai ini bagi diketengahkan serta dipasarkan kepada pelancong domestik.

Pengarahnya, Ednie Rahma Ab Rahim berkata Labuan mempunyai pelbagai produk pelancongan yang menarik dan berpotensi untuk diketengahkan ke pasaran dan ia juga mampu menjadi satu daya tarikan kepada pelancong luar untuk datang ke pulau itu.

“Sebelum ini kita telah memfokuskan pembuatan kraf tangan iaitu pembuatan gasing dan pada hujung tahun lalu, kita telah membawa beberapa media datang ke Labuan untu menguar-uarkan pembuatan gasing dan makanan tradisi masyarakat di sini iaitu Ambuyat.

“Kita akan ketengahkan produk-produk lain yang ada di Labuan dan Jabatan Kraftangan Negeri Sabah juga sedang mengenal pasti produk-produk kraf tangan Labuan yang boleh diketengahkan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra Bersama Media Tempatan di sini, baru-baru ini.

Ednie berkata, pada tahun ini pihaknya telah membuat perancangan khas bagi merancakkan kembali sektor pelancongan di Sabah dan Labuan.

“Walaupun industri pelancongan ketika ini agak perlahan namun ia sedang berkembang secara progresif dan masih bergerak aktif namun ada beberapa kekangan yang perlu diatasi oleh semua pihak terutamanya Pihak Berkuasa Tempatan dan syarikat penerbangan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas