Berita

PL anjur pelbagai program kebajikan rakyat

RITHUAN (atas, sembilan dari kiri) mengibarkan bendera WP bersama kakitangan PL pada Majlis Pelancaran Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan Sempena SHWP 2023 di Medan Selera, baru-baru ini.
- Diterbit 21 Januari 2023 5:00 AM MYT

SEMPENA Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP), Perbadanan Labuan (PL) akan menganjurkan pelbagai program bagi membantu masyarakat khususnya golongan B40 di pulau itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rithuan Mohd Ismail berkata pelaksanaan program itu adalah selaras dengan tema SHWP tahun ini iaitu ‘Kesejahteraan dan Kebajikan Warga Wilayah Persekutuan Diutamakan’.

Katanya sejajar dengan mandat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar mengurangkan acara-acara meriah dan megah serta mengelakkan pembaziran, maka SHWP kali ini telah disusun semula. Pelaksanaan program kesejahteraan dan kebajikan warga Wilayah Persekutuan (WP) adalah selaras dengan isu kos sara hidup yang meningkat dan cabaran ekonomi masa kini.

“Fokus ini menjurus kepada pelaksanaan program penyampaian bantuan dan perkhidmatan yang berterusan kepada golongan berpendapatan rendah B40 dan asnaf di Wilayah Persekutuan,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Pelancaran Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan peringkat Wilayah Persekutuan Labuan di perkarangan Medan Selera di sini, pada Ahad lalu.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan), Datuk Othman Che Jusoh dan beberapa pengarah dan ketua-ketua jabatan kerajaan.

Rithuan berkata antara program yang akan dilaksanakan adalah menyediakan inisiatif kepada penjaja dengan menyediakan tapak berniaga di kawasan pantai Taman Damai Layang-layangan dan kawasan Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan sepanjang bulan Februari.

Selain itu, beliau turut memaklumkan pihaknya turut menganjurkan Program Valuable Goodies juga merupakan antara program yang menarik dan dinanti-nantikan rakyat.

“PL akan menawarkan diskaun pengurangan bayaran kompaun dan pengurangan kadar bayaran fasiliti milik Perbadanan Labuan sepanjang bulan Februari 2023.

“Dengan anjuran program ini, kita berharap dapat memberikan manfaat dalam membantu mengurangkan bebanan rakyat di samping menggalakkan warga untuk melunaskan tunggakan bayaran kompaun,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas