Berita

UMNO masih diterima rakyat

- Diterbit 23 Januari 2021 3:26 AM MYT

UMNO masih kekal sebagai parti yang secara tradisi berpegang kepada prinsip perjuangan agama, bangsa dan tanah air serta menjunjung Perlembagaan Persekutuan, kata Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz.

“UMNO tidak ditolak kerana dasarnya. Malah ia masih lagi didokong oleh sebahagian besar rakyat kerana mencatatkan kemenangan di 77 Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.

“Kawasan-kawasan itu juga masih percaya dengan prinsisp perjuangan UMNO yang secara jelas mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dari segi kedudukan orang Melayu, Islam, Raja-raja Melayu dan rakyat secara keseluruhan,” katanya dalam program Bicara UMNO, Wind Of Change terbitan Astro Awani malam tadi.

Program tersebut turut menampilkan Exco Pemuda UMNO Malaysia, Mohd Nor Aizat Mohd Azam dan dihoskan oleh Nazri Kahar.

Tun Faisal berkata, untuk kekal relevan dengan arus perdana, UMNO perlu berani melakukan perubahan supaya terus diterima rakyat khususnya golongan muda.

“Yang perlu perubahan adalah dari segi kepimpinan, imej, kredibiliti, sistem pemilihan dan penggantian pemimpin. Inilah yang perlu diubah.

“Dari segi membuat keputusan dan penglibatan golongan muda yang memerlukan perubahan. Namun dari segi dasar parti, UMNO tidak ditolak,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Akhbar Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menjelaskan, selepas tewas dalam PRU14, rakyat dapat melihat UMNO berusaha untuk mengukuhkan kembali dasar dan peganganya dengan menubuhkan Muafakat Nasional (MN) yang diterajuinya bersama PAS.

“Oleh itu, timbul idea untuk bermuafakat dengan PAS dan mengukuhkan semula perjuangan UMNO iaitu untuk kepentingan Islam, orang Melayu dan kedudukan istimewa yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas