Berita

Tingkat kemahiran pelajar sekolah rendah, UPM, PREPKOM Hiliran Ampang jalin kerjasama

PELAJAR UPM bergambar bersama pelajar sekolah rendah sejurus Program Teach The Needs 4.0 pada Ahad lepas.
- Diterbit 31 Mac 2023 1:00 AM MYT

PENUBUHAN Pusat Pemerkasaan Pendidikan Dan Komuniti (PREPKOM) di bawah inisiatif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dilihat bukan sahaja membantu kerajaan menangani gejala sosial dalam kalangan remaja bahkan memudahkan komuniti setempat melaksanakan pelbagai aktiviti yang membawa manfaat.

Mengambil peluang tersebut, 30 pelajar Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM) mengadakan Program Teach
The Needs 4.0 sebanyak tiga siri iaitu pada 29 Mac lalu, 2 April dan 9 April 2023 bersama 30 pelajar sekolah rendah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran Ampang, Kuala Lumpur.

AQILAH

Pengarah Projek, Aqilah Abd Rahman berkata sepanjang program ini, pelajar darjah satu hingga darjah enam dalam kategori keluarga berpendapatan rendah (B40) diberi latihan dan perkongsian tentang kemahiran 3M (membaca, menulis, mengira) melalui pembelajaran
literasi dan numerasi.

“Alhamdulillah, hari pertama program berjalan lancar. Kami memfokuskan kepada skop pembelajaran Bahasa Melayu dan Matematik yang mana mereka melakukan aktiviti membaca dan menulis dalam kumpulan,” katanya kepada Wilayahku.

Hasil daripada aktiviti yang dilaksanakan pada hari tersebut, Aqilah mendapati tahap penguasaan para pelajar terhadap subjek yang diberi masih perlu ditingkatkan pada masa hadapan.

“Jadi, perancangan akan datang, kami akan mengasah semula kelemahan dan tahap penguasaan pembelajaran serta akan menghasilkan modul yang lebih seiring dengan skop pembelajaran di sekolah agar peserta dapat menguasai subjek tersebut dengan mudah,” katanya.

Mengulas lanjut, Aqilah berkata setiap atur cara aktiviti yang diadakan sepanjang tiga hari program itu adalah berbeza-beza bagi memperluaskan pengetahuan pelajar dalam skop pembelajaran yang diketengahkan di samping menarik lagi minat peserta untuk hadir ke program tersebut.

Terdahulu, Program Teach The Needs 4.0 anjuran pelajar Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee, UPM dengan kerjasama YWP dan PREPKOM ini
merupakan salah satu aktiviti kesukarelawanan dan jalinan masyarakat khususnya dalam menyantuni anakanak sekolah dalam kategori B40 di PPR. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas