Berita

Uji sampel rawak juadah di bazar Ramadan, DBKL pastikan makanan selamat

MAHADI menunjukkan sampel makanan yang diambil di bazar Ramadan untuk diuji tahap kebersihan, keselamatan dan kualiti makanan.
- Diterbit 31 Mac 2023 5:15 AM MYT

KEBERSIHAN dan keselamatan makanan bazar Ramadan sentiasa menjadi tumpuan semua pihak termasuk agensi-agensi kerajaan bagi
memastikan makanan yang dibeli atau dijual selamat serta berkualiti.

Justeru itu, bagi menjamin keselamatan dan kesihatan pengguna, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengambil sampel makanan secara rawak dan berjadual di 62 bazar Ramadan sekitar Kuala Lumpur.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata DBKL akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ketika menjalankan pemeriksaan dan pemantauan sepanjang Ramadan.

“120 sampel makanan disasarkan diambil setiap hari sepanjang Ramadan dan akan dihantar ke Pusat Analisis dan Sekuriti Makanan DBKL (FoSAC) bagi tujuan analisis.

“Sekiranya terdapat sebarang aduan atau kes pencemaran, kompaun akan dikeluarkan dan menyenaraihitamkan mana-mana peniaga yang melanggar peraturan serta tidak akan meluluskan sebarang permohonan mendapatkan lesen pada tahun berikutnya,” kata beliau semasa pelancaran Kempen Keselamatan Makanan dan Sifar Plastik Sekali Pakai di Bazar Ramadan KL 2023 pada Khamis.

Hadir sama Setiausaha Politik Perdana Menteri, Azman Abidin, Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL, Dr Umi Ahmad dan Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi DBKL, Datuk Azmi Abdul Hamid.

SEKITAR Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Makanan dan Sifar Plastik Sekali Pakai di Bazar Ramadan KL 2023 di Taman Tasik Permaisuri, Cheras.

Beliau berkata tindakan tersebut dijalankan di bawah penguatkuasaan Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016, UndangUndang Kecil Pengendali Makanan (WPKL) 1979, Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Menurut beliau lagi, berdasarkan rekod selama tiga tahun kebelakangan ini, pencemaran sampel makanan di bazar Ramadan sebanyak 19.1 peratus dikesan pada tahun lalu namun ia menunjukkan penurunan berbanding 20.4 peratus pada 2021 dan 31.9 peratus pada 2019.

“Saya percaya, operasi seumpama ini sangat berkesan bagi mengawal kualiti dan keselamatan makanan yang dijual di bazar Ramadan sekali gus dapat menjamin keselamatan dan kesihatan pembeli,” kata beliau.

Sementara itu, Mahadi berkata hanya 62 tapak permohonan bazar Ramadan diluluskan DBKL bagi tahun ini dan 48 tapak ditolak berikutan tidak memenuhi kriteria atau syarat yang ditetapkan.

“Satu lokasi yang diluluskan adalah berada di bawah seliaan DBKL iaitu tempat letak kereta Taman Tasik Permaisuri manakala
61 yang lain diuruskan penganjur persendirian.

“Bagi tapak yang ditolak, DBKL telah meletakkan beberapa kriteria yang perlu dikehendaki agar tidak memberi kesan kepada penduduk setempat sepanjang beroperasi selama sebulan.

“Sudah tentu ketika penilaian dilakukan, kita memantau rekod-rekod lepas, lokasi berkenaan sesuai untuk operasi bazar atau boleh menganggu penduduk setempat termasuklah mengambil kira aspek keselamatan dan susun atur petak niaga,” kata beliau mengulas isu kekecewaan beberapa peniaga yang tidak dapat berniaga selepas permit bazar tidak diluluskan DBKL pada tahun ini.

Tegas beliau, sekiranya lokasi itu tidak sesuai, DBKL sama sekali tidak membenarkan operasi bazar dijalankan kerana dikhuatiri akan menyebabkan masalah berbangkit termasuk aspek keselamatan, mengganggu pergerakan dan keselesaan pengunjung. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas