Berita

Tindakan tegas tanpa kompromi Atasi masalah tanpa Izin SABAH

- Diterbit 9 Mac 2021 6:30 AM MYT

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Negeri Sabah memutuskan untuk mengambil tindakan tegas tanpa kompromi bagi mengatasi masalah pendatang tanpa izin di negeri ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata tindakan itu termasuk mengusir keluar pendatang haram yang mana lebih 600,000 pendatang tanpa izin dari Filipina dan Indonesia telah diusir keluar dari Sabah sejak 1990 hingga bulan ini.

Beliau berkata kerajaan negeri juga telah menegaskan bahawa semua warga asing yang berhasrat untuk berada di negeri itu perlu melalui proses imigresen dan mematuhi lunas perundangan yang ditetapkan.

“Dokumen perjalanan warga asing yang sah adalah amat penting pada ketika ini bagi menjayakan inisiatif kerajaan mengekang pandemik COVID-19 melalui pemberian suntikan vaksinasi kepada semua pihak termasuk warga asing yang terlibat dalam sektor ekonomi di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu Hamzah bersama delegasi KDN mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor di pejabatnya di sini hari ini.

Mengulas mengenai pertemuannya dengan Hajiji, Hamzah berkata antara perkara yang dibincangkan termasuk isu-isu keselamatan terutamanya masalah pendatang tanpa izin di Sabah.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi memantapkan pengoperasian pasukan keselamatan di Kawasan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esszone).

Justeru, KDN melalui semua agensi dibawahnya akan terus memperkasakan aset-aset keselamatan negara serta dasar-dasar kerajaan dari semasa ke semasa bagi memastikan keamanan dan keselamatan Sabah terjamin. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas