Berita

‘Ride For Happiness’ rai anak-anak istimewa

|
- Diterbit 9 Mac 2021 7:10 AM MYT

MAC merupakan bulan yang istimewa buat keluarga yang mempunyai anak keterbatasan upaya kerana menyambut bulan Kesedaran Cerebral Palsy (CP) dan Hari Down Syndrome pada 21 Mac serta Hari Autism Sedunia pada 2 April.

Sempena meraikan hari-hari istimewa ini, sebuah program kayuhan secara maya anjuran Bikeshake ‘Ride For Happiness’ akan bermula pada 16 Mac sehingga 4 April tahun ini.

Sebahagian daripada yuran penyertaan kayuhan amal ini akan disumbangkan kepada Kelab Bikeisable.

Program ini bertujuan untuk memberi sokongan kepada komuniti Bikeisable yang bernaung di bawah Persatuan Malaysian Advocates for Cerebral Palsy (MyCP).

Presiden Kelab Bikeisable dan AJK MyCP, Wira Sudepja Rabu, 46, berkata pihak Bikeshake menghubungi Bikeisable untuk berkolaborasi dalam program ini selepas melihat aktiviti mereka di laman Facebook My Kayuh kerana berpendapat bahawa cara mereka unik selain dapat membantu anak istimewa.

“Bila selalu buat aktiviti, ramai orang yang ingin menyumbang kepada kelab kami.

“Sumbangan program ini akan kami gunakan untuk membeli peralatan sendiri seperti basikal dan treler supaya anak-anak ini juga ada peluang untuk berbasikal seperti orang lain.

“Kos peralatan mereka sangat tinggi terutamanya yang memerlukan peralatan jadi dengan sumbangan ini, kami gunakan untuk membeli lebih banyak basikal dan treler supaya orang lain dapat menggunakannya secara percuma untuk mengikuti aktiviti demi meraikan anak ini bersama keluarga mereka, inilah direction kelab kami,” ujar Wira yang mempunyai anak istimewa CP, Nur Wadihan, 13.

Program kayuhan maya ini juga adalah untuk membantu pelaksanaan kempen kesedaran buat anak-anak istimewa yang berlangsung sepanjang bulan Mac hingga April.

“Bila ada organizer yang buat program secara maya ini, kami masih ada platform untuk kekalkan momentum dan sampaikan mesej kesedaran kepada masyarakat.

“Supaya mereka faham, meskipun anak-anak istimewa ini mempunyai pelbagai diagnosis dan keterbatasan, kita masih boleh raikan mereka seperti orang lain juga,” ujarnya lagi.

Bikeshake ingin mengajak komuniti berbasikal untuk turut serta menyahut cabaran 55KM untuk meraikan anak-anak istimewa dengan gaya hidup sihat.

Pendaftaran bermula pada 9 Mac hingga 15 Mac yang boleh dilakukan di laman web https://bikeshake.com.my/order/form/rh. – OLEH AFIFAH AFIZAL

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas