Berita

MALAYSIA terima pujian majukan matlamat Komanwel

Elevated view of Kuala Lumpur skyline.
- Diterbit 9 Mac 2021 6:24 AM MYT

PESURUHJAYA Tinggi Britain Charles Hay, memuji Malaysia kerana telah melaksanakan pelbagai langkah sejak dua tahun kebelakangan ini untuk memajukan matlamat Komanwel iaitu Keadilan, Kemakmuran, Kelestarian dan Keselamatan.

Menurutnya, Malaysia antara empat daripada 54 kumpulan anggota mempunyai projek I-Work, dirancang bagi meningkatkan prospek pekerjaan belia termasuk mereka yang kurang bernasib baik, dengan  memperkenalkan pendekatan baharu untuk pembangunan kemahiran yang dipimpin majikan .

Malaysia juga negara Komanwel pertama memulakan pengiraan kadar tenaga dan  pelepasan gas bertujuan mencipta model tenaga yang mudah digunakan untuk menyokong perancangan iklim, dengan bajet €3.5 juta yang diumum United Kingdom pada Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) 2018.

Bercakap pada acara sempena Hari Komanwel di Commonwealth House di sini pada Isnin malam, Hay berkata inisiatif lain oleh Malaysia termasuk mengadakan Persidangan Kepemimpinan Politik Wanita Rantau Asia yang menumpukan dasar dan inisiatif mengarus perdana kesamaan gender di seluruh rantau Asia.

“Malaysia juga menyelesaikan projek perintis Komanwel SheTrades, menyokong perniagaan milik wanita untuk lebih berdaya saing, mempromosi ekonomi dan penciptaan pekerjaan.

“Selain itu, Universiti Malaya adalah satu daripada lima universiti yang mengendalikan Biasiswa Queen Elizabeth Komanwel. Sejak April 2018, 47 sarjana telah mendapat manfaat daripada skim biasiswa ini,” katanya.

Beliau juga gembira apabila seorang diplomat kanan Malaysia, Datuk Sudha Devi Vasudevan, baru-baru ini dilantik sebagai Ketua Yayasan Komanwel, agensi kumpulan masyarakat awam yang beribu pejabat di London.

Di samping itu beliau turut memuji beberapa anak muda Malaysia yang terlibat dalam Projek Ocean Hope, yang diasaskan bersama oleh seorang rakyat Malaysia, Mogesh Sabathy. Ia satu kumpulan yang dipimpin belia bertujuan mengetengahkan masalah laut dan pemuliharaan alam sekitar melalui kempen dan latihan kepimpinan.

“Mogesh adalah finalis untuk Anugerah Belia Komanwel 2021, satu pencapaian sangat baik, dan berharap Mogesh akan melangkah lebih jauh dan menjadi antara pemenang dalam acara yang diadakan secara maya pada Rabu,” tambah Hay.

Selain itu, pengasas bersama Zero Waste Malaysia, Khor Sue Yee dan Aurora Tin, dinobatkan pemenang terbaharu Anugerah Commonwealth Points of Light, NGO mereka bekerja dengan komuniti dan syarikat-syarikat untuk memastikan dasar sampah sifar diterima pakai rakyat dan perniagaan di Malaysia.

Anugerah ini meraikan usaha sukarelawan yang luar biasa, sehingga mencetus inspirasi kepada orang lain untuk menjadi sukarelawan dan meninggalkan kesan positif dalam komuniti.

“Saya sangat gembira kerana Zero Waste Malaysia telah meluangkan masa untuk mengambil bahagian dan menyokong siri webinar pada 2020 dan memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia menjalani gaya hidup sifar sisa atau hampir sifar,” kata utusan itu.

Beliau turut menyebut nama tiga saintis wanita Malaysia yang telah menyumbang dalam sains lautan – Prof Madya Dr Goh Hong Ching dari Universiti Malaya dalam projek perlindungan bakau, Prof Zainura Zainon Noor dari Universiti Teknologi Malaysia untuk penyelidikan Hab Keselamatan Air, dan Hui Ling, penuntut PhD Universiti Nottingham Malaysia yang mengkaji kesan plastik mikro di rantau ini. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas