Berita

Tiga kes usir akibat campak sampah dari tingkat atas – DBKL

- Diterbit 11 Disember 2020 5:22 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merekodkan tiga kes penamatan perjanjian penyewaan rumah yang disebabkan perbuatan membuang sampah dari tingkat atas.

Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar DBKL, Saifol Mazli Ahmad berkata, tindakan tersebut diambil di bawah Syarat-Syarat Perjanjian Penyewaan Rumah DBKL dan Undang-Undang Kecil Perumahan Awam (Wilayah Persekutuan) 2000.

“Sejak 2018, tindakan yang diambil baru 11 kes yang mana pelakunya dikompaun berdasarkan bukti, aduan serta pengakuan.

“Pelaku diberi tempoh 14 hari dan jika dia tidak menjawab atau membayar kompaun yang dikenakan, DBKL akan keluarkan notis penamatan penyewaan,” katanya ketika dihubungi Wilayahku pada Rabu.

Menurut Saifol Mazli, sepanjang tahun ini, dua kes penamatan penyewaan dikenakan namun tindakan tidak dapat diteruskan atas faktor Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jelasnya, penguatkuasaan itu adalah daripada empat kes yang dilaporkan yang mana selepas rayuan dibuat, dua daripadanya ditolak.

“Tahun ini juga saya menerima aduan sebuah mesin basuh dibaling daripada tingkat atas. Kejadian pada waktu pagi itu bagaimanapun tidak melibatkan kemalangan jiwa,” ujarnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas