Berita

NadiWilayah terima 1,826 permohonan – MRM

- Diterbit 11 Disember 2020 5:25 AM MYT

SERAMAI 1,826 permohonan bantuan permulaan perniagaan diterima bagi program  NadiWilayah anjuran Multiracial Reverted Muslims (MRM).

Menurut sumber MRM, daripada jumlah itu, 59 peratus adalah permohonan daripada penduduk sekitar Wilayah Persekutuan.

Ujarnya, program menerusi bantuan mula niaga dan sara diri itu diadakan bagi membantu individu yang terjejas pendapatan akibat penularan COVID-19.

“Pihak MRM memperuntukkan sehingga RM500,000 untuk program ini. Ia merangkumi bantuan modal permulaan perniagaan, bantuan khas bulanan kepada peserta, latihan dan barangan perniagaan seperti kanopi, meja, bekas makanan, suntikan typhoid dan lain-lain.

“Kita akan berikan bantuan modal permulaan kepada 100 peserta terpilih sepanjang  program yang akan berlangsung selama enam bulan,” jelasnya ketika dihubungi Wilayahku
pada Rabu.

Ujarnya, pada masa ini, MRM juga menyediakan latihan asas perniagaan seperti teknik pemasaran, pengurusan kewangan dan latihan pengurusan sumber bagi memastikan peserta bersedia mendapat pendapatan bulanan stabil sekali gus berjaya meneruskan perniagaan selepas program tamat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setiap permohonan diteliti dan diasingkan mengikut jumlah isi rumah serta tanggungan yang mana program akan dijalankan dalam tempoh terdekat selepas urusan perlesenan selesai.

“Kita beri penekanan khusus kepada pencari nafkah tunggal keluarga yang terkesan akibat wabak. Selain itu, kita juga mempertimbangkan permohonan daripada kalangan ibu atau bapa tunggal.

“Pasukan khas akan diwujudkan untuk mengurus serta memantau keberkesanan program bagi memastikan peserta diberikan sokongan yang baik termasuk dari segi pengurusan operasi, pendaftaran lesen, pemilihan tempat perniagaan dan pemasaran produk,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan, MRM menerima kira-kira 40 peratus permohonan daripada penduduk luar Wilayah Persekutuan dan berharap program boleh diperluaskan ke negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas