Berita

Tidak timbul soal bermadu – suami Serina Redzuawan

- Diterbit 14 April 2021 12:19 AM MYT

SUAMI baharu Serina Redzuawan, Meor Mohamad Aidid menegaskan dirinya bersedia bekerjasama dengan pihak berwajib berhubung isu tidak memohon untuk berkahwin kali kedua.

“Saya sedia bekerjasama dengan pihak berwajib. Saya dapat tahu bekas isteri (Nur Hamizah Shaffee) ada membuat laporan polis konon dia dimadukan tanpa kebenarannya.

“Saya sedia bertanggungjawab,” jelas Aidid.

Terdahulu, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, Polis Perak menyerahkan siasatan kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Perlis berikutan Aidid sudah bertukar ke Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Perlis.

Malah JIPS Perlis ketika ini juga sedang menjalankan siasatan berhubung perkara berbangkit.

Serina sebelum ini dituduh berkahwin di sempadan Thailand, membelakangkan bapa, hidup bermadu dan pelbagai lagi.
Bukan itu sahaja, Nur Hamizah juga menyangkal dakwaan Serina yang Aidid sudah berstatus duda ketika mereka berkahwin.

“Hubungan saya dan dia (Nur Hamizah sudah bertahun lama bermasalah dan hambar. Hati saya sudah lama tertutup untuknya. Saya bernikah dengan Serina bulan Februari lalu. Serina juga bukan punca kami berantakan.

“Benar ketika berkahwin kali kedua (dengan Serina), dia masih isteri saya. Itu fakta yang saya tak boleh nafikan. Lagipun pada masa sama proses tuntutan cerai olehnya di mahkamah memakan masa. Kami hanya bercerai secara sah pada 9 Mac lalu.

“Kini hanya Serina isteri saya. Tak timbul lagi kisah atau perihal bermadu itu,” katanya.

Aidid juga berharap Nur Hamizah tidak menjadikan kehadiran Serina sebagai alasan kami tidak bahagia dan seterusnya berpisah

“Saya kenal Serina sekitar setahun lalu. Sedangkan masalah antara saya dan dia sudah berlanjutan sekian lama. Saya sudah lama makan hati dan memendamnya.

“Saya berhak untuk bahagia dan ada masa depan yang lebih baik. Saya bersyukur kerana sudah keluar dari hidupnya dan bekas keluarga mentua,” katanya.

Aidid bagaimanapun kecewa dan ralat dengan dakwaan Nur Hamizah yang hubungan mereka tidak bermasalah.

“Kami menjalinkan hubungan rumah tangga secara jarak jauh atas tuntutan kerja. Namun itu bukan alasan untuk tidak menjalankan tanggungjawab. Selain rumah tangga bermasalah, perkahwinan saya dan dia juga ada campur tangan keluarganya.

“Hati suami mana yang boleh tahan sabar apabila isteri tidak menghormatinya. Balik jenguk saya pun susah. Berbulan bulan saya terbiar tanpa dipedulikan perasaan dan kebajikan diri.

“Makan pakai saya pun tak terjaga. Ibu bapa dan kawan saya jadi saksi hidup ini macam orang bujang,” luah Aidid.

Bukan itu sahaja, Aidid turut memperbetulkan kenyataan bukan dia yang menceraikan Nur Hamizah

“Dia sendiri yang tuntut cerai. Saya ada bukti surat mengenai tuntutan berkenaan. Dia tuntut cerai atas alasan tiada lagi persefahaman antara kami,” katanya.

Jumaat lalu, Serina mengesahkan dirinya bergelar isteri buat kali kedua menerusi entri dalam laman Instagram

Sebelum ini, Serina pernah mendirikan rumah tangga dengan Salahudin Ghafar pada 1 Januari 2010. Bagaimanapun, mereka bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Daerah Petaling pada 1 Ogos 2017 selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.

Mereka dikurniakan dua cahaya mata, Tristan Tareef, 11, dan Isabella Saffiya, 10. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas