Berita

Tiada sebarang draf perjanjian Kerajaan-Pembangkang – TPM Fadillah

- Diterbit 24 Mac 2024 9:39 PM MYT

Tiada sebarang dokumen diberi oleh pihak Kerajaan Madani mahupun pihak Pembangkang berhubung dengan deraf perjanjian diantara kedua-dua pihak.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusuf berkata dalam pertemuan di Parlimen pada 19 Mac lalu, beliau hanya mendengar permohonan PN dan mendengar apa yang mereka tawarkan.

“Tiada sebarang dokumen diberi mahu pun diterima.

“Justeru tidak wujud satu dokumen ‘draf perjanjian’ di antara Kerajaan Madani dan Pembangkang seperti dakwa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menteri Peralihan Tenaga dan Tranformasi Air itu berkata tidak timbul wujudnya draf perjanjian baharu Kerajaan Madani seperti
didakwa pemimpin Perikatan Nasional (PN) berkaitan tuntutan peruntukan wakil rakyat pembangkang.

“Selaku Ketua Whip Kerajaan Perpaduan tidak ada
menyerahkan sebarang draf dokumen seperti didakwa, dalam pertemuan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin,” katanya.

Menjelas lanjut, Fadillah berkata draf tersebut turut disebut Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid.

“Tapi adakah YB Rosol sudah lihat ‘draf’ itu? Jika belum, mintalah ‘draf’ itu dari Ketua Pembangkang. Cuba lihat ‘draf’ itu wujud atau tidak,” katanya.

Beliau turut menegaskan sekali lagi dalam pertemuan bersama wakil-wakil Pembangkang minggu lalu, tiada sebarang dokumen diberi oleh pihak Kerajaan Madani mahupun pihak Pembangkang.

“Ianya sekadar sesi mendengar permintaan dan tawaran mereka. Malah tiada perbincangan mengenai ‘perjanjian’ pun,” katanya.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas