Berita

Tiada rumah terbuka, hanya sumbangan bantuan Deepavali

|
- Diterbit 13 November 2020 6:24 AM MYT

BUAT pertama kali, tiada sebarang acara sambutan Deepavali dalam skala besar pada tahun ini, sebaliknya ia digantikan dengan penyampaian sumbangan kepada golongan B40 yang meraikan perayaan tersebut, kata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Santhara.

Program berbentuk sumbangan bantuan kepada golongan miskin bandar itu dilakukan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) bahkan ia turut dilaksanakan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Dari pihak KWP, kita tidak dapat menganjurkan sebarang program rumah terbuka seperti tahun-tahun yang lalu.

“Namun keutamaan kami ketika ini adalah untuk membantu warga kota yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

“Kami dapati ramai warga kota yang telah hilang pekerjaan disebabkan pandemik ini dan kerajaan berusaha untuk membantu mereka dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif kepada mereka yang terjejas,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Deepavali di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini hari ini.

Tambahnya, inisiatif yang diambil oleh KWP dengan membenarkan mereka berniaga di mana-mana kawasan yang strategik di seluruh Wilayah Persekutuan disambut baik pelbagai lapisan masyarakat.

Dalam pada itu, beliau berkata, acara serahan sumbangan ini dilakukan secara pandu lalu bagi mengurangkan kontak dan mengelak risiko jangkitan.

“Ia selari dengan situasi semasa dan ia bertepatan dengan saranan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Setiap program akan dilaksanakan mengikut SOP yang ditetapkan termasuk pematuhan peraturan yang membenarkan seramai 20 orang sahaja yang boleh menghadiri program dalam satu-satu masa,” katanya. – WILAYAHKU

TIMBALAN Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Santhara, menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada masyarakat India sempena sambutan Deepavali di perkarangan Menara Satu DBKL.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas