Berita

Bantuan bersasar, manfaat warga memerlukan

|
- Diterbit 13 November 2020 6:37 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) akan terus melaksanakan pelbagai program bantuan bersasar untuk membantu rakyat memerlukan khususnya golongan berpendapatan rendah.

Usaha yang diambil, kata Menterinya, Tan Sri TPr Annuar Musa sebahagian inisiatif membantu keluarga B40 yang hidup daif serta memerlukan terutamanya ketika pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan.

Beliau berkata, selain golongan B40, KWP dengan kerjasama pelbagai pihak antaranya Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), parti politik serta orang perseorangan akan turut melaksanakan program sumbangan lain termasuk bantuan persekolahan kepada pelajar.

“KWP merancang hingga tempoh akhir tahun ini, dua program dilaksana, membantu 25,000 pelajar sekolah rendah dan menengah melalui Program Back To School, menyalurkan bantuan peralatan sekolah, buku tulis dan lain-lain di samping akan mengagih topeng pelitup muka serta sanitizers secara percuma.

“Selain itu, dalam masa dua bulan ini selepas PKPB dilaksana semula, sebahagian penduduk miskin mungkin hadapi masalah, jadi KWP bercadang adakan lagi program bantuan bakul makanan dilaksana dengan kerjasama Majlis Perwakilan Perduduk (MPP) dan pemimpin setempat.

“Semalam saya telah minta mereka mendaftar sebagai penerima, kita menjangkakan ada sekitar 20,000 hingga 22,000 keluarga boleh dikategori sebagai golongan berpendapatan rendah layak dibantu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan sempena sambutan Deepavali kepada keluarga masyarakat India dalam kelompok B40 di Menara MIC, di Kuala Lumpur.

Program agihan sumbangan dilaksanakan oleh Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dengan kerjasama MIC Pusat, menyaksikan seramai 500 penerima dibantu sebagai persiapan menjelang sambutan perayaan.

Menurut Annuar program tersebut dilaksanakan selaras semangat masyarakat majmuk di negara ini yang berbilang kaum, di samping membantu golongan sasar, keluarga berpendapatan rendah dalam kelompok B40, di Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, mengulas lanjut, program bantuan bakul makanan, Annuar berkata sebelum ini telah dua kali dibuat, pelaksanaan program kali ketiga adalah bagi membantu masyarakat yang daif.

“Selain membantu warga memerlukan, program ini sebahagian bantuan disalur kerajaan selain bantuan oleh Baitulmal dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). – WILAYAHKU

MENTERI Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa, menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada masyarakat India sempena sambutan Deepavali di Bangunan Malaysian Indian Congress (MIC).

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas