Berita

100 pelajar ikuti kelas percuma anjuran Pertubuhan Magik Matematik

PESERTA memberi perhatian kepada teknik dan tips yang diajar di PPR Desa Tun Razak, Cheras. PESERTA memberi perhatian kepada teknik dan tips yang diajar di PPR
- Diterbit 13 November 2020 6:22 AM MYT

PRIHATIN dengan nasib anak-anak daripada keluarga yang terjejas akibat pandemik COVID-19, Pertubuhan Magik Matematik menganjurkan Program Brain -Synchro secara percuma untuk 100 pelajar daripada kumpuan B40 yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

Program dengan sokongan Yayasan Hasanah dan Prihatin turut mendapat kerjasama daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) yang membantu menyediakan kelas pembelajaran.

Pengasas Pertubuhan Magik Matematik, M Selvaraju berkata, inisiatif itu diambil selepas mendapati ramai ibu bapa pelajar hilang pekerjaan.

“Matematik Moden merupakan subjek wajib lulus dalam peperiksaan SPM dan sangat penting untuk menempah tiket pada masa depan yang lebih cerah.

“Oleh itu, program tersebut mendedahkan teknik pengiraan mental, kaedah penyelesaian masalah Matematik Moden dengan mudah dan sesi kaunseling pandemik khususnya untuk pelajar yang lemah dalam subjek berkenaan,” katanya.

Menurut Selvaraju, pada program itu, seramai 100 pelajar B40 mengikuti aktiviti Brain-Synchro yang bermula Ogos lalu menerusi kelas fizikal dan dalam talian.

Ujarnya, kelas fizikal diadakan pada setiap minggu selama dua jam selepas waktu sekolah di lima lokasi antaranya Perumahan Awam (PA) Desa Rejang, Setapak, Sri Perak, Sentul dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pantai, Kampung Kerinchi Kuala Lumpur.

“Peserta program juga disajikan dengan makanan tengah hari diikuti minuman petang.

“Bagi kelas dalam talian pula, sesi pembelajaran juga diadakan setiap minggu selama dua jam melalui Google Classroom, Google Meet dan Aplikasi WhatsApp.

“Modul bimbingan dalam bentuk fizikal dan digital yang dikendalikan pengajar  berpengalaman telah memberi suntikan semangat dan motivasi serta keyakinan tinggi kepada peserta untuk menghadapi peperiksaan SPM nanti,” jelasnya.

Dalam pada itu, tambah Selvaraju, program tersebut akan berlangsung sehingga hari peperiksaan SPM dan perkembangan terkini program boleh diikuti melalui https://www.facebook.com/mathsmagics.org.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas