Berita

TFEKL23 bakal cipta keunikan, peraga fesyen pada ketinggian 300 meter

BON (empat dari kanan) bergambar bersama barisan tetamu selepas sesi sidang media TFEKL23 di Menara Kuala Lumpur pada Selasa.
- Diterbit 6 Julai 2023 9:00 AM MYT

BUAT julung kalinya, acara pertunjukan fesyen Tower Fashion Eleganza Kuala Lumpur 2023 (TFEKL23) ­dijangka mencipta rekod tersendiri ­apabila 75 model bakal ­memperagakan ­busana eksklusif daripada 15 ­pereka fesyen Malaysia ­mengelilingi Sky Deck, Menara Kuala Lumpur pada 9 September akan datang.

Acara pertunjukan ­fesyen ini ­me­rupakan anjuran Bon Fashion Legacy dan Nuunaa Management serta turut ­mendapat ­kerjasama ­daripada ­sektor ­industri ­pelancongan ­seperti Menara KL, Tourism Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), KL Hop-On Hop-Off dan Gentlemen’s Code.

Ia juga diadakan ­bersempena Sambutan Hari Bangunan Pencakar Langit Sedunia sekali gus ­menyaksikan kehebatan karya pereka-pereka fesyen terkemuka negara antaranya Radzuan Radziwil, Carven Ong, Bon Zainal, Fizi Woo, Rasta Rashid, Kalima dan Leslie Variyan.

Pengarah TFEKL23 merangkap Pengasas Bon Fashion Legacy, Bon Zainal Harun berkata para ­pereka fesyen yang dipilih bagi acara tersebut akan mempersembahkan koleksi khusus yang direka dan ­dihasilkan dengan gabungan ­elemen moden, tradisi, penuh bergaya, ­inovatif, ­elegan serta keanggunan yang ­paling tinggi.

“Saya amat berbangga dengan idea yang bakal direalisasikan ini terutama sekali apabila ­mendapat kerjasama hebat daripada para kolaborator yang juga merupakan kapten industri pelancongan.

“Sewaktu saya mula-­mula menyuarakan hasrat untuk ­menganjurkan sebuah ­pertunjukan fesyen di Sky Deck, Menara KL ini, ramai yang menyatakan ­bahawa idea itu ­mungkin tidak masuk akal namun faktor itu jugalah yang mendorong saya untuk ­berusaha merealisasikan perkara tersebut menjadi kenyataan.

BON ZAINAL

“Disebabkan itu juga, saya ­yakin TFEKL23 akan ­menjadi ­titik ­permulaan dan insya-­Allah ­acara ini akan menjadi acara ­tahunan. Lebih menarik, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin juga telah ­bersetuju untuk menghadiri acara utama TFEKL23,” katanya pada Majlis Sidang Media TFEKL23 di Menara KL pada Selasa.

Turut hadir Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghappar; Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Book of Records (MBOR), Jwan Heah; Pengarah Urusan Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh dan Pengarah Urusan Elang Wah Sdn Bhd, Azhar Nadzir serta ­beberapa ­pereka ­f­esyen terlibat.

Menurut Bon Zainal, ­pemilihan Sky Deck sebagai lokasi bagi ­acara ini kerana ingin membuat ­kelainan, keunikan serta ­pembaharuan ­terhadap pertunjukan peragaan fesyen.

“Kebiasaannya, ­pertunjukan ­fesyen sering dilakukan di ­ruangan dewan mahupun ­lokasi ­terbuka di atas lantai dan ­dalam ­bangunan, ­jadi pada kali ini ­kita ­membuat sedikit kelainan ­dengan ­sasaran ­berkemungkinan ­dapat ­mencipta rekod terbaharu iaitu pertunjukan fesyen tertinggi yang pernah ­dianjurkan di Malaysia ­iaitu di Sky Deck dengan ­ketinggian lebih kurang 300 meter dari ­permukaan bumi.

“Saya harap acara ini akan ­dilaksanakan dengan jayanya ­kerana ia bukan sekadar pertunjukan ­fesyen semata-mata malah secara tidak langsung ini juga ­merupakan inisiatif untuk mempromosikan TFEKL23 seterusnya membantu meningkatkan imej Kuala Lumpur dan industri pelancongan negara di persada antarabangsa,” ujarnya.

Dalam pada itu, TFEKL23 ­juga bakal melakar sejarah baharu ­apabila acara ini juga bakal ­menjadi pertunjukan fesyen pertama yang disiarkan secara langsung di ­saluran dan platform media Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Ketua Pengarah RTM, Suhaimi Sulaiman menyifatkan ­keterujaan apabila diberi tanggungjawab ­untuk menyiarkan TFEKL23 secara langsung buat pertama kalinya.

“Ia merupakan pertunjukan ­fesyen pertama yang akan ­disiarkan secara langsung oleh RTM ­menerusi platform RTMKlik, OTT, Facebook dan TikTok. Sudah pasti, kami akan memastikan ia berjalan lancar serta ini juga merupakan antara inisiatif RTM untuk menyediakan program dan konten terkini buat penonton kami,” katanya. – WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas