Berita

32 kakitangan Pejabat Setiausaha Politik PM, Parlimen BTR lafaz ikrar bebas rasuah

caption: AZIZAH (dua kanan, depan) bersama pegawai dan kakitangan Pejabat Setiausaha Politik PM dan Pejabat Parlimen BTR sejurus melafaz dan menandatangani IBR, di Dewan Megapuri, DBKL pada Rabu.
- Diterbit 6 Julai 2023 7:20 AM MYT

SERAMAI 32 pegawai dan kakitangan Pejabat Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri dan Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak menzahirkan komitmen dalam memerangi gejala rasuah dengan melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR), pada Rabu.

Sesi lafaz tersebut diketuai Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Azman Abidin dan disertai Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama kakitangan serta pegawainya.

Detik tersebut disaksikan oleh Pengarah Jabatan Intergriti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Abdulamin Abdillah.

Menurut Wan Azizah, majlis ikrar ini adalah langkah terbaik yang diambil supaya usaha membanteras jenayah rasuah khususnya dalam kalangan individu mahupun kakitangan di pejabat dapat dibendung.

“Umum mengetahui, gejala rasuah sememangnya perlu dibendung dan kita perlu sedar bahawa setiap masa akan berhadapan dengan tanggungjawab yang besar terumata ketika sedang menggalas tugas namun pencegahan sebelum berlakunya perkara sebegini wajar diambil.

“Majlis Ikrar seperti ini atau pendedahan tentang gejala rasuah ini juga bukan sahaja pada kakitangan semata tetapi mesej utama yang ingin disampaikan adalah bagaimana gejala rasuah ini dapat dibendung bermula dengan pejabat kita dahulu.

“Kita cuba buat yang terbaik untuk mencegah perkara ini dan masing-masing telah pun mendengar taklimat yang disampaikan. Saya harap agensi serta jabatan lain turut mmengambil langkah proaktif dalam usaha membanteras jenayah rasuah,” kata beliau kepada Wilahyahku.

Terdahulu, Majlis Ikrar Bebas Rasuah Pegawai dan kakitangan Pejabat Setiausaha politik kepada Perdana Menteri dan Pejabat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak telah berlangsung di Dewan Megapuri, DBKL. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas