Berita

YWP, Parlimen Batu turun padang

GULAM (kiri) menghulurkan sumbangan bantuan khas YWP kepada Maznah di rumahnya pada Selasa. Turut sama Zahrulail (tengah).
- Diterbit 6 Julai 2023 12:00 PM MYT

KEJADIAN ribut yang ­melanda rumah dua beranak di Kampung Batu Delima, Jalan Jambu Laut baru-baru ini menyebabkan bumbung rumah mangsa mengalami kerosakan teruk.

Prihatin akan musibah yang ­menimpa, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dengan ­kerjasama Parlimen Batu tampil menghulurkan Bantuan Khas YWP kepada keluarga Maznah Mohd Noor pada Selasa.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah (ALPA) YWP, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata bantuan tersebut bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa selain untuk membaik pulih bumbung rumah yang punah dalam kejadian tersebut.

“Kami dapati bumbung ­rumah Maznah sudah rosak ­teruk selepas kejadian ribut itu dan kayunya pun sudah dimakan anai-anai. Jadi, bila hujan lebat serta angin kuat secara tidak langsung bumbung itu pun terangkat.

“Musibah yang menimpa Maznah dan anaknya ini amat berat kerana mereka berdua ­sahaja yang tinggal di rumah tersebut. Justeru itu, saya harap bantuan ini dapat meringankan beban mereka dan menambah apa-apa perbelanjaan lain yang diperlukan,” katanya kepada Wilayahku.

Kongsi Gulam yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu, Maznah adalah seorang ibu tunggal yang hanya bergantung pendapatan ­daripada anak perempuannya yang mengambil upah mengajar kelas mengaji.

“Dia juga menghidap ­penyakit darah tinggi, kencing manis dan ­baru-baru ini melakukan pem­bedahan mata akibat kencing manis.

“Di kesempatan ini, saya harap bantuan yang disampaikan boleh meringankan beban mereka walaupun jumlahnya tidaklah ­begitu besar,” katanya lagi.

Terdahulu, Gulam ­bersama Pengurus Besar Jabatan Pembangunan dan Kesejahteraan Komuniti YWP, Zahrulail Abdul Rahman turun meninjau keadaan rumah Maznah dan menghulurkan sumbangan tersebut. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas