Artikel

Tawar hati pemusnah rumah tangga dalam diam

BERCINTALAH dengan pasangan sehingga ke akhir hayat. - Gambar hiasan
- Diterbit 24 Mac 2023 4:30 AM MYT

HUBUNGAN suami isteri yang ideal di dalamnya sentiasa ada kasih sayang dan sikap kasihan belas kepada pasangan. Namun hubungan boleh menjadi pudar dan tidak harmoni disebabkan oleh satu perasaan iaitu tawar hati.

Tawar hati kepada pasangan ialah satu perasaan yang tidak berkemahuan lagi untuk bersama, bertindak untuk tidak mempedulikan, tidak mahu mengambil tahu sehinggakan hanya mengikut sahaja (flow) dan membiarkan saja apa yang ingin berlaku dalam hubungan.

Ia merupakan petanda yang jelas bahawa hubungan sedang berada dalam konflik. Apabila seseorang sudah tawar hati, hubungan menjadi dingin dan lama-kelamaan membawa kepada kehancuran.

Perasaan tawar hati boleh berlaku kepada kedua-dua belah pihak, baik suami mahupun isteri. Tawar hati lelaki ini kadang-kadang bersifat sementara tetapi kebanyakannya menggunakan alasan untuk mencari pasangan baru atau sudah bosan dengan pasangan lama.

Berbeza dengan tawar hati seorang perempuan yang mana mereka kebanyakannya masih bersama pasangan tetapi lebih bertindak untuk tidak mempedulikan pasangan dengan meneruskan kehidupan seperti biasa. Dengan kata lain, memilih untuk melakukan hal masing-masing tetapi masih bergelar suami isteri. Antara tanda isteri sudah tawar hati dengan suami ialah kurang bercakap, mudah sensitif, marah dan menjadi seorang yang berahsia.

Kebiasaannya isteri mudah berkongsi apa sahaja dengan pasangan tetapi jika jarang meluahkan maka itu tandanya tawar hati. Apabila ia terjadi, rumah tangga akan hilang serinya kerana isteri membawa aura tersendiri dalam keluarga.

Jika dirinya tidak bahagia, seluruh isi rumah tangga turut terkesan dengan rasa tidak bahagia itu.

Perasaan ini sekiranya tidak dicegah dari awal akan menimbulkan pelbagai masalah. Hal ini kerana hati yang baik akan memandu setiap tindakan positif dalam kehidupan, begitu juga hati yang rosak akan menatijahkan tindakan yang negatif.

Sebagaimana Rasulullah SAW bersabda, “Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati (jantung).” – Hadis Riwayat Bukhari.

PUNCA MASALAH

ANTARA punca berlakunya perasaan tawar hati ialah melakukan sesuatu yang tidak disukai pasangan secara berulang kali, tidak mempunyai perasaan sensitif dan tidak peka dengan perasaan pasangan.

Kadang-kadang perlakuan dan percakapan kita dengan pasangan boleh menyebabkan ia terjadi. Malah ramai pasangan yang lebih suka mencari orang luar untuk berkongsi rasa berbanding pasangan.

Hal ini boleh terjadi apabila pasangan terlalu melebihkan kerja sehingga tiada masa untuk keluarga sendiri. Contohnya, semua tugas rumah tangga dan mendidik anak-anak diserahkan kepada isteri, manakala suami langsung tidak membantu.

Apabila isteri terbeban dengan semua kerja dan tanggungjawab, isteri akan merasa sangat letih dan ini boleh menjadi tanda isteri mula tawar hati terhadap suami, tambahan lagi suami tidak mengambil peduli tentang perasaan isteri, jauh sekali untuk bertanya khabar.

Perbuatan sedemikian bertentangan dengan sikap Rasulullah SAW kerana baginda membantu pekerjaan rumah tangga isterinya walaupun baginda seorang pemimpin umat Islam yang berjaya.

Sebagaimana hadis Nabi Muhammad SAW menjelaskan “Al-Aswad bin Yazid berkata, Aku pernah bertanya Aisyah, apa yang Nabi buat ketika berada di rumah? Beliau menjawab, baginda membantu kerja isterinya. Kemudian sebaik mendengar azan, baginda pun keluar.” – Hadis Riwayat Bukhari.

Baginda SAW bijak dalam membahagikan masanya bersama keluarga sama sekali tidak mengurangi darjat dan kedudukan baginda malah tidak merendah-rendahkan kemuliaan seorang isteri.

Salah satu cara untuk menangani rasa tawar hati pada peringkat awal ialah dengan mengingat kebaikan pasangan seperti kenangan indah bersama sewaktu awal perkahwinan.

Secara tidak langsung, perkaraperkara positif tentang pasangan mendominasi kelemahan dan kekurangan pasangan.

Sebagaimana Allah SWT nyatakan dalam surah an-Nisa 4:19 “Jika kamu tidak menyukai mereka maka boleh jadi Allah menyimpan kebaikan yang banyak dalam sesuatu yang kamu benci itu”.

Rasulullah SAW juga melarang suami mahupun isteri menanamkan sikap benci kepada pasangan “Janganlah seorang mukmin (suami) membenci seorang mukminah (isteri). Jika dia tidak menyukai salah satu akhlaknya, hendaklah dia menyenangi akhlak yang lainnya.” – Hadis Riwayat Muslim.

Baginda menyuruh untuk melihat, menyedari dan mengingati kebaikan lain yang ada pada diri pasangan. Bersyukur dengan kelebihan dan bersabar dengan kekurangannya.

Namun rasa tawar hati yang parah sukar untuk diubati lagi sekiranya tidak dirawat daripada awal.

Lebih malang lagi, akibat terasa hati yang berterusan dan berulang kali akan mendorong kepada situasi isteri nekad untuk berpisah dan meminta cerai daripada suami.

Tawan semula hati pasangan dengan bersungguh-sungguh menampakkan usaha untuk memujuknya kembali. Pasangan anda adalah orang yang anda jangkakan untuk ada bersama anda sehingga akhir kehidupan.

PENULIS merupakan calon ijazah kedoktoran di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas