Artikel

Anak era digital: Jadilah pendamping yang setia dan bijak mengawal emosi

USAH biarkan anak anda ketagihan gajet.
- Diterbit 24 Mac 2023 3:00 AM MYT

TEKNOLOGI telah banyak memberi manfaat kepada masyarakat di seluruh dunia. Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan, terdapat juga kesan negatif ke atas perkembangan kanak-kanak dan remaja.

Sebagai ibu bapa, mengambil tahu tentang punca teknologi memberi kesan kepada paten keibubapaan adalah sangat penting. Ini kerana banyak kajian telah menunjukkan kesan negatif teknologi digital kanak-kanak.

Penggunaan gajet secara berlebihan sejak kecil boleh menjejaskan banyak bidang dalam kehidupan kanak-kanak. Contohnya, kanak-kanak yang sibuk menggunakan gajet sebagai ganti alat permainan akan hilang fokus, kurang kemahiran komunikasi, lemah kemahiran berbahasa dan berkemungkinan menjejaskan penguasaan akademik.

Kanak-kanak juga mungkin tidak mempunyai kreativiti kerana penumpuan lebih diberikan kepada skrin. Justeru tidak hairan apabila ketagihan dan kerbergantungan kepada gajet dalam kalangan kanak-kanak yang sedang membesar menjadikan tugas ibu bapa dalam era teknologi digital menjadi semakin sukar dan mencabar.

Dari segi perkembangan psikologi, kanak-kanak dan remaja masih melalui fasafasa yang memerlukan mereka menguasai dan melaksanakan tugas perkembangan. Pada era di mana teknologi belum begitu berkembang, mereka mempelajari dan menguasai tugas perkembangan dengan bantuan guru, ibu bapa dan masyarakat persekitaran.

Secara amnya, orang dewasa akan memastikan tingkah laku anak-anak muda mengikut norma sosial yang diterima dan tidak menyalahi undang-undang. Akses kepada teknologi menjadikan kebergantungan kepada orangorang dewasa menjadi kurang.

Panduan hidup yang biasanya disampaikan dan diajar oleh orang dewasa secara bersemuka telah mendapat campur tangan media dalam talian. Ia datang dalam bentuk laman sesawang, media sosial dan mesej melalui aplikasi teks.

Media telah melaporkan tentang kanak-kanak dan remaja yang terpengaruh dengan kandungan seksual grafik dan permainan ganas yang boleh menjejaskan perkembangan mental dan emosi mereka secara serius.

Untuk mencegah dan mengurangkan kesan negatif teknologi ke atas anak-anak mereka, ibu bapa akan bertambah tugas untuk menyelia anak-anak. Untuk itu terdapat beberapa panduan yang boleh diguna pakai dalam menyelia dan mengawal anak-anak bawah umur di era digital.

Dalam masa yang sama, ibu bapa perlu meningkatkan usaha bagi memastikan pengaruh maklumat yang mudah diperolehi melalui akses kepada internet dapat ditapis bersesuaian dengan usia anak-anak dan selari dengan tatasusila budaya dan undang-undang.

PANDUAN MENYELIA ANAK

IBU bapa boleh menggunakan aplikasi pengawalan seperti Google Family Link. Perkhidmatan kawalan ibu bapa keluarga oleh Google ini membolehkan ibu bapa melaraskan parameter untuk peranti yang digunakan oleh anak mereka.

Aplikasi ini membenarkan ibu bapa menyekat kandungan, meluluskan atau tidak meluluskan aplikasi tertentu, menetapkan masa skrin dan lain-lain bentuk kawalan yang dirasakan perlu.

Selain itu, bagi memastikan anak-anak sentiasa aktif, ibu bapa perlu merancang jadual harian mereka dan memastikan jadual dipatuhi ke paras optima.

Biarpun perkara ini agak mencabar memandangkan kebanyakan keluarga terdiri dari ibu bapa bekerja. Namun, kerjaya tidak boleh dijadikan alasan dalam mengabaikan tanggungjawab ini. Adakah ibu bapa ingin mengharapkan pihak berkuasa mengawal anak-anak mereka? Sudah tentu tidak.

Dalam usaha membina hubungan yang bermakna dengan anak-anak kadang-kadang kesibukan ibu bapa dengan kerjaya sering kali menjadi penyebab yang mengorbankan hubungan kedua belah pihak.

Kita perlu tahu dan sedar bahawa dunia keibubapaan pada hari ini tidak sama dengan 20 tahun yang lepas. Justeru, ibu bapa perlu merancang bagaimana mereka boleh mencipta ruang komunikasi sihat bersama anak-anak.

Antaranya dengan menyediakan jadual harian untuk anak-anak yang berada di bangku persekolahan. Sebagai contoh, tetapkan selepas pukul lapan malam, mereka perlu mengulang kaji tanpa gajet di sisi.

PENULIS merupakan Profesor Madya di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya serta pakar dalam bidang terapi, kaunseling perkahwinan dan keluarga. 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas