Artikel

Pantau kegiatan anak sebelum terlambat

- Diterbit 24 Mac 2023 6:00 AM MYT

SEMPENA sesi persekolahan 2023/2024 ini ibu bapa diingatkan untuk lebih memberikan perhatian serta sokongan berterusan kepada belia dan remaja agar mereka tidak beralih kepada bahan terlarang.

Ini kerana bahan terlarang seperti dadah muncul dalam pelbagai medium baharu yang sukar untuk dikenal pasti seperti dadah jenis vape mushroom, atau air kosong yang diletakkan dadah jenis ice atau syabu atau jualan air daun ketum yang dilihat seperti air tebu atau permasalahan hidu gam.

Kebanyakan dadah jenis hibrid dan baru ini akan meninggalkan kesan kepada kesihatan mental kerana kandungan kimia yang pelbagai ini akan menjurus kepada kerosakan sistem saraf terutamanya otak dan amat sukar untuk proses rawatan dan pemulihan.

Kehadiran dadah sintetik jenis baharu ini amat sukar untuk para pemulih atau jurulatih terlatih untuk membantu mereka bebas namun pemantauan berterusan bertahun-tahun di pusat-pusat pemulihan seperti di bawah seliaan 46 badan bukan kerajaan (NGO) gabungan Majlis Penggunaan Bahan Terlarang tidak akan berputus asa untuk membantu.

Pun begitu, adalah penting untuk langkah pencegahan awal dimulakan untuk mengelak bermula penagihan bahan terlarang dalam kalangan belia dan remaja kerana proses pemulihan akan mengambil masa yang amat panjang dan kompleks melalui pelbagai kaedah moden yang sistematik.

Majlis Penyalahgunaan Bahan Malaysia / Malaysian Subctance Abuse Council (MASAC) turut bersedia membantu melalui puluhan Jurulatih CRC MASAC untuk memberikan khidmat sebelum bermulanya mereka terlibat dengan dadah selain daripada khidmat bantuan jagaan selepas berjaya keluar dari permasalahan dadah.

Baru-baru ini MASAC bersama Pusat Penyelidikan Dalam Penyalahgunaan Dadah Asia (ACREDA) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengadakan Program Jurulatih Pemulihan Bertauliah atau Certified Recovery Coach bagi tahun 2023.

Antara rumusan daripada program tersebut mendapati rata-rata kes berjaya berhenti terus dari masalah penagihan dadah kerana sokongan berterusan dari ahli keluarga termasuk ibu bapa, isteri atau adik-beradik.

Malah, kajian lapangan semasa program dijalankan dalam kalangan peserta, sokongan daripada keluarga merupakan elemen terpenting untuk memastikan berkurangnya kebarangkalian kes bekas pengguna bahan terlarang kembali menggunakan bahan durjana tersebut.

Ini jelas terbukti bahawa hubungan kekeluargaan yang erat adalah amat penting dan secara tidak langsung ia boleh mempengaruhi perjalanan hidup seseorang. Untuk itu, sebagai ibu bapa pantaulah anak-anak sebelum terlambat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas