Artikel

Tatkala muzik Meor terhenti…

ALLAHYARHAM Meor Yusof Azidin Meor Hassan.
- Diterbit 31 Disember 2021 6:45 AM MYT

KU SEMAN KU HUSSAIN

Wartawan Bebas

“BANYAK dreams yang saya nak dalam hidup ni saya dapat.. Pertama saya nak jadi recording artist M. Nasir, saya dapat ..itu tahun 1993- 1994.. walau distributor reject.

Lepas tu nak jadi pub musician, pun saya dapat juga.. walau setahun je. Nak jadi busker, 10 tahun saya pendam cita cita.. awal tahun 2001 saya start busking.. Nak jadi folk singer songwriter.. dah ada 10 album.

Nak jadi penulis.. dah ada sejumlah buku dan jadi penulis yang dibayar. Dan saya jumpa jodoh dengan isteri saya di Central Market.. setahun saya simpan perasaan.. ni dah ada empat orang anak yang dah besar panjang.. Cuma, Tuhan tak bagi saya kaya.. melainkan kebahagiaan…”

Demikian tulis Meor Yusof Azidin Meor Hassan dalam satu entri Facebook pada 22 November 2020. Walaupun pendek dan ringkas, tetapi saya terkesan dengan luahan tanpa dibuat-buat itu. Kami sudah kenal lama sejak akhir tahun 1980-an.

Saya selalu mengikuti catatan di Facebook – tentang diri, keluarga dan anak-anak dan pergulatan manusia. Meor seorang pemerhati yang tekun dan fikiran jernih. Tidak hanya tahu tentang gitar, lagu dan nyanyi, Allahyarham juga endah perihal manusia di sekeliling.

Seingat saya Meor tidak pernah merungut tentang kehidupannya sebagai busker sepenuh masa. Malah sangat bersyukur dengan kerjaya yang luar biasa – bukan setakat mampu menyara, malah membina keluarga, membesar dan memberi pendidikan kepada anakanak.

Banyak orang bercakap tentang kebebasan mencorakkan hidup. Tetapi amat sedikit yang mampu berdepan cabaran daripada kebebasan itu. Lebih banyak yang tidak mahu bebas. Ini kerana cabaran bebas sangat besar berbanding yang memilih untuk tidak bebas.

Menjadi busker sepenuh masa di Kuala Lumpur adalah pilihan. Walaupun begitu Meor sangat realistik bahawa menjadi busker di Kuala Lumpur cabarannya berganda. Apresiasi masyarakat jauh berbeza dan tidak seperti kota-kota besar lain di dunia.

Memberikan sejumlah wang kepada busker bukan menyumbang atau menolong, tetapi satu apresiasi. Ini agak kurang dalam masyarakat kita. Meor sudah memikirkan semuanya sebelum menjadi busker sepenuh masa sejak 20 tahun lalu. Tetapi Meor terus dengan pilihannya.

Menghampiri tengah malam Jumaat lalu (24 Disember) Meor yang sebati dengan imej seniman jalanan di Kuala Lumpur telah kembali ke pangkuan Ilahi. Seniman berusia 54 tahun itu akhirnya tewas selepas lebih tiga minggu bertarung COVID-19. Kepulangan Meor menjadikan sojor kini (trending) di Facebook.

Meor bukan artis yang sejuta pengikut (followers) di media sosial. Tetapi kepulangannya meninggalkan satu kesan kehilangan – bukan sahaja keluarga malah mereka yang menghargai kerjanya. Selepas ketiadaannya terasa akan keberadaannya.

Allahyaham Meor meninggalkan balu, Roslinda Hasim, 47, empat anak – Nor Kamelia, 25, bekerja di CIMB Bank, Meor Adam, 23, anak istimewa penghidap autisme, Meor Aqeef, 19, pelajar kolej dan Meor Gibran, 16, masih bersekolah di tingkatan empat.

Sejak dimasukkan ke hospital saya mengikuti perkembangannya daripada Facebook Meor yang dikemas kini oleh Nor Kamelia. Setiap kali berdebar ketika membaca status terkini keadaan Meor. Daripada Facebook itu, ternyata Meor sosok yang amat dikenali. Terlalu banyak memberi reaksi.

Dalam beberapa catatan sebelum dimasukkan ke hospital Meor sangat memikirkan tentang Adam, anak istimewa yang tidak mampu mengurus diri. Siapa pun juga yang pernah menjadi bapa dapat merasakan keresahan Meor. Malah memikirkan jangka masa kuarantin 14 hari.

Allahyarham hilang pendapatan kerana tidak dapat bekerja. Allahyarham yang juga adik kepada penyanyi Sohaimi Meor Hassan dan kartunis Mishar mempunyai banyak pilihan selain menjadi busker. Malah ada jalan singkat untuk lebih berjaya sebagai penyanyi rakaman atau pemuzik dalam arus perdana.

Dulunya Meor mempunyai pekerjaan tetap di Yamaha Music di Kuala Lumpur. Tetapi kemudiannya berhenti kerana memilih mengembangkan kebolehan dalam muzik folk. Syarikat rakaman tidak percaya muzik ini mendapat sambutan dan Meor diminta berubah pada lagu bercorak lain.

Meor tidak boleh berkompromi dan berkorban menjadi manusia yang hilang kebebasan membuat pilihan. Meor menolak kerana tidak elok membuat kerja kerana ganjaran dan bukan sepenuh hati. Maka Allahyarham menjadi busker – menyanyikan lagu-lagu bercorak folk ciptaan sendiri dan lagu penyanyi folk luar negara yang popular.

Ketika belum banyak orang bercakap mengenai penyanyi dan album indie, Meor telah menerbitkan sepuluh album indie lagu-lagu folk. Dicipta, digubah dan dinyanyikan sendiri. Melihat konsep muzik yang dilestarikan dalam 10 album berkenaan, itulah kebebasan yang tidak pernah dikompromi.

Tahun 2001 Meor menjadi busker sepenuh masa. Saya antara yang selalu menonton persembahan buskingnya di Jalan Hang Kasturi di tepi Cenral Market. Ketika itu Jalan Hang Kasturi antara yang menjadi pangkalan (port) busker di Kuala Lumpur. Ada beberapa busker ternama di situ, antaranya Adi Jagat.

Selepas Allahyarham membuat busking, kami selalu bersembang di Restoran Langkawi (sekarang Restoran Annette) di Central Square di sebelah Central Market. Meor selalu bercerita tentang isterinya, Roslinda yang sangat menyokong pilihannya menjadi busker.

“Bang, Allah tidak bagi saya kaya, tetapi anugerah bahagia. Isteri saya amat memahami. Roslinda adalah kebahagiaan saya. Bukan mudah mendapat wanita yang berkenan dengan busker macam saya.” Saya tumpang gembira melihat kebahagiaannya.

Impian Meor tercapai apabila sejak 2010 ditawarkan menjadi residen busker di KL Sentral. Tahun ini merupakan tahun ke-10 Meor menghiburkan pengunjung KL Sentral yang menggunakan perkhidmatan awam seperti LRT, ERL, komuter, MRT dan bas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketika bermula pandemik COVID-19 pada Mac 2020, Meor antara yang sangat terkesan. Bayangkan ketika Kuala Lumpur menjadi bandar mati, tidak ada manusia yang bergerak ke sana dan ke sini, Meor juga terkurung dalam radius 10 kilometer.

Tetapi ikhtiar untuk hidup tidak pernah terhenti. Meor membuat persembahan busking secara maya di platform Facebook. Kata Meor, pendapatannya menjunam lebih separuh berbanding membuat busking di KL Sentral. Setiap petang dan malam dengan bertemankan sebuah gitar akustik, Meor terus bekerja secara dalam talian.

“Bila benda macam COVID ni jadi kat kita dan keluarga kita, yang paling merisaukan adalah Adam.. bagaimana kalau kena? Alhamdulillah, Adam dan Gibran negatif… kakaknya esok result tapi rasanya ok kot. Saya pulak tak suka COVID ni sebab 14 hari cuti tanpa gaji… duk nganga je le. Betul ini ujian kecil dari Allah, tapi melibatkan kematian juga. Kita tak punya pilihan pun, dah Dia bagi, kita hadap je le.”

Terkedu seketika tatkala membaca posting terakhir Meor pada 4 Disember 2021 Saya memujuk hati keadaan Meor tidak serius. Tambahan pula belum dimasukkan ke hospital. Meor nampaknya sangat pasrah pada keadaan yang menimpa.

Kebimbangannya mengenai kematian akhirnya menjadi kenyataan. Meor pulang. – WILAYAHKU – KU SEMAN

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas