Artikel

Semangat Keluarga Malaysia, setia kawan

ANTARA kakitangan Yayasan Wilayah Persekutuan yang hadir pada Program Gotong-Royong Keluarga Malaysia di Taman Sri Nanding, Hulu Langat baru-baru ini.
- Diterbit 31 Disember 2021 6:58 AM MYT

BENARLAH, seperti api, air itu ketika kecil adalah kawan. Apabila besar menjadi lawan. Gelombang banjir besar yang melanda Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur khususnya, dan jirannya Selangor, Pahang serta negeri lain baharu-baharu ini menjadi bukti.

Dengan kuasa dan kehendak Allah, air yang menjadi elemen utama dalam kehidupan seharian bertukar berbahaya apabila berlebihan. Jalan raya, kawasan perumahan, masjid ditenggelami air.

Ramai terkorban dalam banjir ini. Adi percaya ramai dapat melihat melalui video yang diviral betapa aliran air deras menghanyutkan pelbagai harta benda seperti rumah dan kenderaan. Kediaman yang selamat rosak teruk, begitu juga kenderaan.

Semua tidak dapat diselamatkan. Hujan berterusan beberapa hari menyebabkan air mengalir ke merata tempat, tidak dapat ditampung oleh bumi.

Empangan yang menjadi tempat takungan air untuk kegunaan manusia hari-hari juga sudah tidak mampu membendung limpahan air yang memenuhi takungan sehingga mencecah paras bahaya.

Selalunya jika kering air empangan, orang ramai akan berhadapan gangguan bekalan air. Apabila sudah terlebih kapasiti, berbahaya pula dan terpaksa dilepaskan. Jika tidak, boleh menyebabkan empangan pecah. Akibatnya tentu lebih dahsyat.

Satu perkara yang Adi bangga, dan Adi rasa kebanggaan ini dikongsi oleh ramai orang, ketika berlaku bencana alam seperti ini, semangat perpaduan dan kekitaan di kalangan rakyat Malaysia terserlah. Masingmasing saling bantu-membantu tanpa mengira bangsa, agama atau fahaman politik.

Kerajaan juga segera menawarkan bantuan peruntukan RM100 juta bagi membantu mangsa memperbaiki rumah yang musnah atau rosak, dengan kerjasama kerajaan negeri.

Selain itu, setiap ketua keluarga yang teribat dengan banjir masing-masing akan menerima bantuan RM1,000 sebagai meringankan beban yang ditanggung.

Di kalangan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), persatuan-persatuan dan orang perseorangan juga aktif menghulur bantuan, sama ada bantuan tenaga, wang ringgit atau barang keperluan. Jelas semangat ‘Keluarga Malaysia’ terserlah. Sungguh menyentuh hati!

Ramai mangsa yang hanya sempat menyelamatkan diri sehelai sepinggang. Kerana itu keperluan pakaian dan makanan amat mendesak. Syukurlah pelbagai pihak dengan ikhlas hati mendermakan segala keperluan ini untuk membantu dalam keadaan sukar ini.

Adi sangat kagum melihat pelbagai pihak seolaholah berlumba-lumba ingin membantu. Bagi Adi apabila berlaku musibah dan rakyat menghadapi kesusahan, ‘Keluarga Malaysia’ bangun bersatu.

Mereka yang daripada kawasan tidak dilanda banjir pula, dengan sukarela datang daripada ratusan kilometer jauhnya untuk membantu dengan ‘misi membalas budi’.

Ini kerana ketika kawasan mereka teruk dilanda banjir dahulu, mereka dari kawasan yang tidak terjejas ramai datang menghulurkan bantuan tanpa mengira masa dan tenaga serta penat lelah. Kali ini giliran mereka pula walau tidak diminta. Sikap terpuji ini sangat disanjung tinggi. Begitu tinggi semangat setia kawan.

Ramai tidak menduga serangan banjir kali ini begitu hebat sehingga jalan raya dan lebuh raya tenggelam dan ramai terperangkap, depan belakang terkepung. Hujan yang tidak berhenti sebelum kejadian adalah petanda awal bumi akan dilimpahi air yang sukar dibendung serta mengalir deras.

Di Kuala Lumpur sendiri, ia mengulang sejarah banjir besar tahun 1971. Setelah 50 tahun banjir kembali melanda ibu negara. Banjir 1971 begitu teruk dan mencemaskan sehingga kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein, mengisytiharkan darurat.

Namun dalam kesepakatan kerjasama dan tolong-menolong mambantu mangsa banjir, Adi kesal kerana ada yang mengambil peluang menangguk di air keruh. Mereka mengambil kesempatan daripada penderitaan orang ramai.

Kelompok atau individu ini kononnya mengutip bantuan daripada orang ramai, khususnya wang ringgit, untuk didermakan kepada mangsa. Walhal itu sebenarnya hanyalah satu penipuan atau scam.

Pada Adi, orang yang seperti ini adalah insan yang tidak berhati perut dan mengambil peluang daripada kesusahan orang lain. Adi difahamkan pihak polis telah berjaya mengesan dan menangkap mereka. Ini adalah peringatan kepada orang lain agar tidak melakukan perkara sama.

Kerana itu Adi nasihatkan orang ramai berhati-hati ketika memberi bantuan. Menderma adalah sifat terpuji. Tetapi pastikan menderma kepada penerima yang betul dan berhak. Seeloknya salurkan melalui agensi atau pertubuhan yang sah dipertanggungjawab membuat kutipan dan menyalurkan derma berkenaan.

Banjir yang melanda juga wajar dianggap sebagai ‘wake up call’ kepada semua pihak, terutama agensi kerajaan yang terlibat dengan pengurusan bencana agar sentiasa bersiap siaga menghadapi kemungkinan jika ia berlaku.

Ini penting kerana bagi Adi, apa juga kelemahan dan hirukpikuk dalam pengurusan banjir kali ini tidak berulang. Ada pihak yang menyalahkan pihak lain kerana lambat bertindak. Misalnya dakwaan jentera kerajaan lambat digerakkan ke medan sehingga keadaan menjadi semakin buruk.

Selain itu, terdapat rungutan kerana bagai tidak ada penyelarasan antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri, misalnya seperti yang berlaku di Selangor.

Ini dikatakan berlaku kerana pertikaian mengenai jawatan Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor antara Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar. Kerana itu kerja penyelarasan dan pemberian bantuan tidak lancar.

Pada Adi jika berlaku pertikaian seperti ini hanya sia-sia sahaja kerana dalam kecemasan, tidak wajar bertelingkah mengenai jawatan. Sebaliknya gemblen gusaha untuk membantu dan menyantuni mangsa. Apa-apa pertikaian atau kemusykilan yang wujud boleh diselesaikan kemudian. Pemimpin pusat dan negeri mesti saling bekerjasama erat.

Tiada siapa mengharapkan banjir yang meragut nyawa dan merosakkan harta benda. Tetapi persiapan dan persediaan ke arahnya mesti sentiasa ada dalam keadaan bersedia. Oleh itu apabila berlaku sahaja kejadian, semuanya boleh digerakkan dengan mudah dan lancar.

Hujan lebat beberapa hari dan ramalan kaji cuaca mengenai hujan rebut sebelum banjir melanda, sepatutunya sudah menjadi amaran kepada semua pihak terlibat agar bersiap sedia menyusun strategi menghadapi kemungkinan banjir. Jika ini diambil ingatan, pengurusan bencana kali ini tentu dapat dijalankan dengan lebih lancar dan berkesan.

Yang penting, ambil iktibar daripada apa yang berlaku sebagai pengajaran untuk hari akan datang. Ketika rakyat dilanda susah, maka menjadi tanggungjawab semua, terutama pemimpin, untuk memastikan keperluan mendadak rakyat dipenuhi.

Ambil contoh Yang diPertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang mencemar duli melawat dan menyantuni mangsa banjir tanpa mementingkan protokol. Sikap baginda sangat disanjung. Jadikan ia ikutan. – WILAYAHKU – Adi Tuah

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas