Artikel

Projek Kraf Manik bantu jana pendapatan 13 pelajar KUP

ANTARA koleksi yang dijual oleh pelajar kelas 1 dan 2 KUP SMKPK Setapak.
- Diterbit 31 Disember 2021 6:22 AM MYT

KEADAAN diri sebagai orang kurang upaya (OKU) tidak mematahkan semangat dan kegigihan 13 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas Setapak, Kuala Lumpur (SMKPK) mempelajari seni kraf manik untuk menjana pendapatan sampingan.

Berkat kesungguhan dan kesabaran guru SMKPKS, Saiful Amir Che Hamid, dalam mencurahkan ilmu kepada pelajar Kurang Upaya Pelbagai (KUP) ini ternyata membuahkan hasil apabila mereka berjaya menerima lebih daripada 100 unit tempahan pada tahun ini.

Menurut Saiful, golongan pelajar ini bukan sahaja mempunyai masalah penglihatan tetapi juga masalah-masalah lain seperti attention deficit hyperactivity disorder (ADHD), epilepsi dan masalah fizikal.

MUHAMMAD Syahmi menunjukkan pearl mask extender yang telah berjaya dibuat.

Walaupun serba kekurangan, pelajar kelas 1 dan 2 KUP ini tidak mengambil masa yang lama dalam menghasilkan sesuatu produk kraf tangan manik.

“Mereka mampu menghasilkan sebanyak lima hingga 10 produk dalam masa sehari.

“Antara koleksi yang dihasilkan dalam Projek Kraf Manik ialah pearl mask extender, tasbih, gelang dan brooch.

Pearl mask extender bernilai RM9.90, tasbih RM8, gelang RM6 dan brooch RM5,” katanya kepada Wilayahku.

BROOCH ring pearl khusus buat mereka yang memakai tudung hanya berharga RM5.
ANDA boleh mendapatkan pearl bracelet dengan pelbagai warna dengan hanya RM6.
TASBIH pearl yang disediakan oleh pelajar KUP bernilai RM8.

Ujar Saiful, projek ini bertujuan untuk mencari dana kelas KUP di samping memberikan ganjaran kepada pelajar-pelajar yang telah berjaya melaksanakan produk dengan menggunakan hasil jualan tersebut.

“Selain itu, pihak sekolah turut menggunakan hasil jualan tersebut untuk mengadakan jamuan kelas mereka,” jelasnya.

Saiful juga memberitahu usaha memasarkan produk kraf manik itu dibuat menerusi laman Facebook, TikTok @cegunadyazarra dan Linktree susulan saranan pihak sekolah dan tim KUP sendiri yang melihat potensi kaedah terbabit.

“Terima kasih yang tidak terhingga juga diucapkan kepada pengetua sekolah kami, Zaidah Mahadi yang turut banyak menyumbangkan idea dalam Projek Kraf Manik ini.

“Buat mereka di luar sana yang ingin membeli produk kraf manik yang dijual oleh pelajar SMKPK Setapak, anda boleh melihat page Facebook sekolah kami https://www.facebook.com/ kelaskupsmpksetapak/ atau menghubungi talian 011- 5950 5363 untuk maklumat lanjut.

“Semoga lebih ramai masyarakat Malaysia menyedari kemahiran kraf manik pelajar saya dan mengetahui kebolehan serta bakat yang mereka ada,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas