Berita

Taraf keselamatan CAAM: kementerian pengangkutan ambil tindakan pembetulan 33 Audit IASA

CAAM telah mengambil tindakan pembetulan terhadap 33 dapatan audit Penilaian Keselamatan Penerbangan Antarabangsa (IASA). Kredit foto: BERNAMA
- Diterbit 2 Ogos 2022 4:27 AM MYT

KEMENTERIAN Pengangkutan melalui Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah mengambil tindakan pembetulan terhadap 33 dapatan audit Penilaian Keselamatan Penerbangan Antarabangsa (IASA) dibangkitkan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat pada 2019.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata ia berikutan penurunan taraf keselamatan CAAM daripada Kategori 1 ke Kategori 2 oleh FAA.

Beliau berkata FAA selanjutnya telah mengadakan sesi pengauditan semula ke atas CAAM dari 6 hingga 10 Dis 2021 dan laporan bertulis hasil dapatan pengauditan itu telah dikemukakan kepada Malaysia pada 10 Mei lepas untuk tindakan pembetulan.

“Berdasarkan laporan tersebut, CAAM telah mengambil tindakan untuk menutup 29 dapatan audit IASA yang dibangkitkan FAA, seterusnya pada 12 hingga 14 Julai 2022 pihak FAA telah mengadakan perbincangan lanjut dengan CAAM berkaitan tindakan pembetulan yang diambil CAAM ke atas dapatan-dapatan tersebut,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) mengenai status dan tindakan yang diambil kementerian berikutan  penurunan taraf keselamatan CAAM daripada Kategori 1 ke Kategori 2 FAA pada November 2019.

Wee berkata berdasarkan perbincangan tersebut, pihak FAA memaklumkan secara lisan bahawa kesemua 26 daripada 29 hasil dapatan yang diperoleh dalam sesi pengauditan pada Disember tahun lepas telah berjaya ditutup, dengan kesemua 26 hasil dapatan itu berkaitan aspek teknikal CAAM.

Bagaimanapun beliau berkata masih ada tiga dapatan yang masih tidak ditutup melibatkan dua yang berhubung aspek perundangan manakala satu dapatan lagi adalah aspek teknikal dan latihan melibatkan penyediaan silibus bagi inspektor CAAM.

“Dalam hubungan ini, tindakan pembetulan bagi menutup ketiga-tiga dapatan tersebut telah dikemukakan kepada pihak FAA pada 25 Julai 2022, dan pihak FAA akan membuat keputusan berhubung penarafan semula dalam jangka masa terdekat dan diumumkan pada Ogos ini,” katanya.

Kepada soalan Abdul Latiff mengenai persediaan Malaysia untuk mengekalkan kerusi Ahli Majlis Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), Wee berkata CAAM telah merangka strategi bagi mendapatkan sokongan untuk mengekalkan kerusi, selain mengadakan mesyuarat dua hala dengan kumpulan serantau termasuk Suruhanjaya Penerbangan Awam Afrika. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas