Berita

PM zahir ucap takziah kepada keluarga mangsa pesawat ringan terhempas

UCAPAN takziah kepada ahli keluarga jurulatih penerbangan Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, yang meninggal dunia. Kredit foto: BERNAMA
- Diterbit 2 Ogos 2022 6:08 AM MYT

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga jurulatih penerbangan Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, yang meninggal dunia dalam tragedi pesawat ringan terhempas di Perak, malam tadi.

Menerusi catatan di laman Facebook rasmi beliau hari ini, Ismail Sabri mendoakan agar keluarga mangsa tabah dalam menghadapi dugaan itu.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan roh orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Ismail Sabri turut mendoakan agar seorang lagi jurulatih penerbangan Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, yang cedera dalam nahas sama diberikan kesembuhan segera.

Dalam insiden kira-kira 8 malam itu, pesawat ringan Piper 28 terhempas di tepi jalan raya berhampiran Sungai Rokam, Medan Gopeng meragut nyawa Fajim Juffa yang berasal dari Semenyih, Selangor manakala Muhammad Din Fikri dari Bukit Damansara, Kuala Lumpur cedera.

Kedua-dua jurulatih penerbangan itu dilaporkan berlepas dari sekolah latihan kapal terbang yang terletak berhampiran sebelum kejadian. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas