Berita

Tanggungjawab pemilik gagal jelaskan cukai

||
- Diterbit 18 Mac 2021 2:48 AM MYT

BAKI tunggakan cukai tanah bagi seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur setakat 31 Dis 2020 berjumlah RM19,584,478 melibatkan 15,727 hak milik, kata Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Datuk Muhammad Yasir Yahya.

Katanya berdasarkan rekod pada awal tahun 2020, terdapat 165,371 hak milik tanah berdaftar di Kuala Lumpur, dengan 16 peratus daripadanya (26,551 hak milik) mempunyai tunggakan cukai dengan nilai tunggakan cukai tanah berjumlah RM28,809,508.30.

Pihak Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPTGWPKL) menjalankan pelbagai usaha bagi mengurangkan jumlah tunggakan cukai ini.

“Antaranya melaksanakan Ops Ketuk, penyampaian notis secara serahan tangan kepada pemilik tegar, sesi libat urus dengan pemilik, pembukaan kaunter bayaran di luar pejabat, pembersihan data dan menguatkuasakan peruntukan undang-undang seperti perampasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, pelbagai inisiatif dilaksanakan PPTGWPKL bagi memudahkan pemilik tanah untuk menjelaskan bayaran cukai seperti secara dalam talian (FPX) melalui portal pejabat tanah (www.ptgwp.gov.my), Perbankan Internet (M2U, Cimbclicks dan RHB Online) dan di kaunter Pos dan Kaunter DBKL secara tunai.

Dalam pada itu, Muhammad Yasir menjelaskan sekiranya pemilik tanah gagal menjelaskan cukai tanah, segala urusan yang boleh dipohon pemilik tanah akan terhalang, selaras dengan keperluan dalam Seksyen 301A Kanun Tanah Negara (KTN).

“Akta ini mengkehendaki semua sewa (cukai) hendaklah dijelaskan sebelum serahan dibuat di PPTGWPKL.

“Urusan ini seperti memecah bahagian tanah, memajukan tanah, mencantum tanah, menukar kategori dan syarat tanah serta menjalankan urus niaga memindah milik, memajak, menggadai dan sebagainya,” katanya.

Beliau menyatakan pemilik turut berhadapan dengan risiko yang lebih besar iaitu tanah tersebut boleh dirampas (dilucut hak) berdasarkan Seksyen 97 dan Seksyen 100 KTN.

Kesan daripada pelucuthakan itu menyebabkan tanah tersebut kembali sebagai tanah kerajaan yang bebas daripada segala bentuk bebanan atau tuntutan, katanya.

“Oleh yang demikian, pemilik tanah atau pihak yang berkepentingan terhadap sesuatu tanah hendaklah sentiasa mengambil berat dan bertanggungjawab menjelaskan bayaran cukai tanah,” menurutnya.

Untuk rekod, sejak penubuhan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada tahun 1974, sebanyak empat kali pindaan cukai tanah  dilaksanakan Pihak Berkuasa Negeri iaitu pada tahun 1975, 1984, 1994 dan 2006. – BERNAMA

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas