Berita

Tangguh filem antarabangsa buka lebih ruang filem tempatan masuk pawagam

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 7 Mac 2024 2:05 PM MYT

PENANGGUHAN tayangan beberapa filem antarabangsa di pawagam bakal memberi peluang kepada filem tempatan untuk mengisi kekosongan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata hasil perbincangan Finas dan Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) terdapat lebih kurang tujuh hingga sembilan filem tempatan yang berpotensi mendapat kutipan pecah panggung.

“… kami boleh katakan, ini sebagai satu peluang sebab saya dapat maklumat daripada pawagam ada beberapa syarikat perfileman antarabangsa yang meminta filem terbitan mereka ditangguhkan tayangan sehingga tahun depan.

“Hasil perbincangan dengan pawagam, selain filem tempatan, ada banyak filem dari Asia Tenggara yang mampu bersaing dengan filem dari Hollywood,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Jendela Fikir: Cabaran dan Masa Depan Filem Tempatan di Pawagam di Bernama Radio hari ini.

Bagi mencapai hasrat tersebut, Finas sedang bekerjasama dengan Persatuan Penerbit Filem Malaysia untuk merancang dan menganalisa serta mengenal pasti filem tempatan yang berpotensi mendapat kutipan pecah panggung.

“Kami sedang berbincang dengan produser yang akan menghasilkan filem tersebut terutamanya dari segi pemasaran, kerana jika boleh kami mahu mereka menguar-uarkan dua atau tiga bulan sebelum filem itu dikeluarkan.

“Ini penting, agar filem tersebut dikenali kerana proses itu membantu menarik penonton ke pawagam seterusnya menerima sambutan,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas