Berita

MCW cadang insentif lapor rasuah diperluas kepada orang awam

- Diterbit 9 Mei 2024 10:56 AM MYT

PEMERHATI Rasuah Malaysia (MCW) mencadangkan agar insentif melaporkan kesalahan rasuah yang diberikan kepada penjawat awam diperluas kepada orang awam.

Dalam satu kenyataan, MCW berkata insentif yang ditawarkan untuk penjawat awam yang memberi komitmen melaporkan kesalahan rasuah sudah wujud dan sedang dilaksanakan.

“MCW mencadangkan agar insentif ini diperluaskan kepada orang awam atau mana-mana pihak yang terlibat secara langsung dalam memainkan peranan terbaik dalam mendokong usaha membanteras rasuah negara,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut kenyataan itu, insentif tersebut turut wajar diperluas kepada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) supaya dapat meningkatkan kesedaran anti rasuah dalam kalangan rakyat.

“NGO antirasuah seperti MCW mempunyai kekangan peruntukan dana khas atau insentif untuk menjalankan operasi banteras rasuah.

“Ngo ini terpaksa bergantung kepada sumbangan tahunan ahli kerana kurang mendapat sokongan atau bantuan dana dari mana-mana pihak termasuklah kerajaan bagi melaksanakan pelbagai inisiatif pendidikan dan kesedaran antirasuah,” katanya

MCW turut mengucapkan tahniah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kerajaan Malaysia di atas pelancaran Strategi Pencegahan Rasuah Malaysia ( NACS) 2024-2028 semalam.

Menurut MCW , tiga perkara yang akan membawa kejayaan strategi ini ialah ketegasan SPRM, komitmen penjawat awam dan iltizam politik.

“Ketegasan dan konsistensi SPRM sebagai agensi pelaksana strategi ini yang mempunyai punca kuasa yang jelas akan mampu mempastikan strategi ini dilaksanakan dengan berkesan.

“Komitmen penjawat awam terutamanya pegawai tertinggi di kementerian dan ketua ketua jabatan akan menjadikan strategi ini dapat direalisasikan,” katanya.

Tambah MCW, iltizam politik anggota kabinet selaku menteri yang mengawal kementerian amat penting dalam memastikan strategi ini sentiasa dilaksanakan dengan pemantauan yang teliti.

Dalam pada itu, MCW berharap penjelasan terperinci dapat diberikan berkaitan insentif dalam lima strategi utama yang disenaraikan kerajaan melibatkan aspek pendidikan, kebertanggungjawaban awam, suara rakyat, penguatkuasaan selain ganjaran dan insentif. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas