Berita

Taliban tidak patuhi perjanjian disepakati dengan AS: Pentagon

- Diterbit 29 Januari 2021 3:13 AM MYT

PENTAGON pada Khamis berkata Taliban Afghanistan tidak memenuhi komitmen di bawah perjanjian Amerika Syarikat (AS)-Taliban, lapor Agensi Berita Xinhua.

“Tanpa memenuhi komitmen untuk menamatkan keganasan dan serangan terhadap Pasukan Keselamatan Negara Afghanistan dan sukar untuk rakyat Afghanistan menyaksikan adanya penyelesaian melalui rundingan khusus.

“Tetapi kami masih tetap komited dengan perkara itu,” kata jurucakap Pentagon John Kirby pada taklimat media.

Kirby berkata AS belum membuat keputusan mengenai kehadiran pasukan tentera di Afghanistan pada masa akan datang dan setakat ini terdapat 2,500 tentera AS ditempatkan di negara itu sudah cukup untuk membantu menyelesaikan misi memerangi keganasan.

AS dan Taliban menandatangani perjanjian pada akhir Februari 2020, antara lain mahu  pengunduran sepenuhnya pasukan tentera AS dari Afghanistan menjelang Mei 2021 jika Taliban memenuhi syarat kesepakatan itu, termasuk memutuskan hubungan dengan kumpulan pengganas.

Perang di Afghanistan telah menyebabkan kira-kira 2,400 kematian tentera AS. Sebelum ini, bekas Presiden Donald Trump mempercepat pegunduran tentera dari negara itu walaupun beberapa pembantu kanannya mencadangkan pendekatan yang lebih berhati-hati. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas