Berita

Bolivia mulakan kempen suntikan vaksin Sputnik V pada Jumaat

- Diterbit 29 Januari 2021 2:37 AM MYT

BOLIVIA sudah menerima bekalan vaksin COVID-19 Sputnik V dihasilkan Rusia dan akan memulakan kempen vaksinasi mulai Jumaat, lapor agensi berita Sputnik, kata Presiden Luis Arce.

Pada Khamis, Arce menyambut ketibaan pesawat yang membawa bekalan pertama vaksin berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa El Alto La Paz.

“Kita akan mulakan vaksinasi di sembilan kawasan esok. Sudah tentu ia akan dilaksanakan secara bertahap, bergantung kepada penghantaran bekalan vaksin ke pusat kemudahan penyimpanan,” kata Arce kepada wartawan.

Pada akhir Disember, Bolivia mencapai kesepakatan mengenai bekalan 5.2 juta dos vaksin Rusia ke negara Amerika Latin itu. Diikuti kebenaran penggunaan kecemasan oleh pihak berkuasa Bolivia pada 6 Januari.

Bolivia setakat ini melaporkan lebih 208,000 kes COVID-19 dengan lebih 10,000 kematian, menurut Johns Hopkins University. – BERNAMA

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas