Utama

Takziah kepada anggota Bomba yang meninggal dunia akibat COVID-19

- Diterbit 3 November 2020 5:08 AM MYT

KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengucapkan takziah kepada ahli keluarga anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Alias Abu yang meninggal dunia semalam akibat COVID-19.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata pemergian Allahyarham Alias adalah satu kehilangan besar buat keluarga JBPM yang selama ini tanpa mengenal erti penat dan lelah terlibat secara langsung dalam melakukan operasi sanitasi awam selaras usaha negara mengekang penularan wabak COVID-19.

“Saya mendoakan ahli keluarga, saudara, dan sahabat handai serta seluruh anggota JBPM tabah dan sabar dengan ujian yang menimpa ini.

“Marilah kita mendoakan semoga roh Allahyarham Alias Abu dicucuri rahmat dan diberikan kebaikan atas amal yang soleh serta ditempatkan bersama para syuhada’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Allahyarham Alias, 56, adalah antara 15 anggota bomba Sabah yang disahkan positif virus itu selepas menjalani ujian saringan pada 16 Okt lepas.

Beliau yang juga Ketua Cawangan Operasi Kebombaan Ibu Pejabat JBPM Sabah menghembuskan nafas terakhir pada 9.15 pagi semalam.

— BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas